Home Nasional Usaha kurangkan pekerja asing jadi tumpuan

Usaha kurangkan pekerja asing jadi tumpuan

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Usaha kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing bagi industri pembinaan bakal dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, isu itu terkandung dalam sesi soal jawab lisan yang akan diajukan Datuk Robert Lawson Chuat (GPS-Betong) kepada Menteri Kerja Raya berkenaan bilangan pelatih Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan sejauh mana ABM boleh menyediakan tenaga kerja mahir.

Usai sesi itu, perbahasan berkaitan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 berkenaan Belanjawan 2021 kemudiannya akan mengambil tempat untuk hari keenam.

Sidang Dewan akan berlangsung selama empat jam sehari iaitu mulai 10 pagi hingga 2 petang setiap Isnin hingga Khamis, selain mengehadkan hanya 80 Ahli Parlimen – 41 pihak kerajaan serta 39 pembangkang dan BebasĀ  yang dibenarkan berada di dalam dewan pada satu-satu masa.

Peraturan itu diperkenalkan sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan wabak Covid-19.

Menurut takwim Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 27 hari sehingga 15 Disember. – MalaysiaGazette