Home Nasional Vaksin kanak-kanak ditukar kepada enam serangkai, jumlah suntikan berkurang

Vaksin kanak-kanak ditukar kepada enam serangkai, jumlah suntikan berkurang

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Vaksin lima serangkai di bawah Program Imunisasi Kebangsaan bagi kanak-kanak ditukar kepada kombinasi enam serangkai.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengubah Jadual Imunisasi Kebangsaan untuk kanak-kanak yang melibatkan semua Klinik Kesihatan KKM.

Pertukaran jadual imunisasi ini dilaksanakan susulan pertukaran jenis vaksin yang digunakan iaitu vaksin kombinasi lima serangkai difteria – tetanus – pertussis – polio – Haemophilus influenzae type b (pentavalent DTaPIPV//Hib) yang ditukar kepada vaksin kombinasi enam serangkai difteria – tetanus – pertussis – polio – Hepatitis B – Haemophilus influenzae type b (hexavalent DTaP-IPV-HepB-Hib).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertukaran akan dilaksanakan secara berperingkat bermula seawal bulan November 2020 bergantung kepada ketersediaan bekalan vaksin di fasiliti kesihatan kementerian berkenaan.

Katanya, vaksin kombinasi lima serangkai mula  digunakan sejak tahun 2008 di lapan buah negeri dan kemudian diperluaskan ke seluruh negara pada 2010.

“Vaksin tersebut diberikan bagi mencegah penyakit difteria, tetanus (kancing gigi), pertussis (batuk kokol), poliomyelitis dan jangkitan Haemophilus influenzae type b.

“Ia diberi sebanyak tiga dos primer pada umur dua, tiga  dan lima bulan serta satu (1) dos penggalak (booster) pada umur 18 bulan<” katanya dalam kenyataan.

Vaksin Hepatitis B monovalent pula diberikan untuk mencegah penyakit Hepatitis B sejak tahun 1989.

Ia diberikan sebanyak tiga  dos semasa lahir, pada umur satu dan enam bulan.

Menurut beliau, vaksin kombinasi enam serangkai pula mencegah enam jenis penyakit iaitu penyakit difteria, tetanus (kancing gigi), pertussis (batuk kokol), poliomyelitis, jangkitan Haemophilus influenzae type b dan Hepatitis B.

“Sebanyak empat dos vaksin enam serangkai akan diberikan kepada setiap kanak-kanak pada umur dua, tiga, lima dan 18 bulan.

“Di samping itu, vaksin Hepatitis B yang diberi selepas lahir akan terus diberikan,” ujarnya.

Manakala, vaksin Hepatitis B yang sebelum ini diberikan pada umur satu bulan dan enam bulan tidak perlu lagi diberikan kerana komponen vaksin Hepatitis B telah terkandung dalam vaksin kombinasi enam serangkai.

“Ini bermakna, bilangan suntikan untuk mencegah enam jenis penyakit iaitu difteria, tetanus (kancing gigi), pertussis (batuk kokol), poliomyelitis, jangkitan Haemophilus influenzae type b, dan Hepatitis B dapat dikurangkan dari tujuh (7) suntikan kepada hanya lima (5) suntikan susulan pertukaran vaksin ini. Dengan pengurangan bilangan suntikan, ia memudahkan ibubapa untuk
memastikan anak-anak diberikan suntikan vaksin mengikut jadual imunisasi yang ditetapkan,” tambahnya.

Jelasnya, pemantauan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di peringkat global menunjukkan, sehingga 20 Oktober 2020, terdapat 49 buah negara telah bertukar kepada vaksin enam serangkai dalam Program Imunisasi Kebangsaan mereka.

“Vaksin enam serangkai DTaP-IPV-HepB-Hib adalah vaksin yang berkesan dan selamat. Seperti vaksin-vaksin lain yang berdaftar di Malaysia,” kata Dr. Noor Hisham. – MalaysiaGazette