Home Utama Agong berkenan isytihar proklamasi darurat PRK Batu Sapi

Agong berkenan isytihar proklamasi darurat PRK Batu Sapi

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah hari ini berkenan supaya Pengisyhtiharan Proklamasi Darurat bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen (P.185) Batu Sapi, Sabah dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.

Perkara itu dimaklumkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan hari ini yang mana terdapat keperluan untuk membatalkan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi yang ditetapkan sebelum ini.

“Setelah memperhalusi penjelasan Perdana Menteri dan sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki bin Ali; Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Salleh.

“Al-Sultan Abdullah telah berpuas hati bahawa adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Ia bagi membolehkan suatu Ordinan dimashyurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 untuk membatalkan tarikh yang telah ditetapkan bagi menjalankan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi P.185 Batu Sapi, Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, baginda berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Negara, pada jam 4 petang tadi.

Dalam sesi selama satu jam itu, Muhyiddin telah mempersembahkan nasihat beliau, susulan daripada keputusan mesyuarat Jemaah Menteri, berkenaan pelaksanaan Pengisyhtiharan Proklamasi Darurat bagi P.185 Batu Sapi, Sabah untuk ampun perkenan Seri Paduka Baginda.

Menurut kenyataan itu, dengan pengisytiharan ini, apa-apa prosiding yang telah bermula bagi maksud penjalanan PRK bagi P.185 Batu Sapi tidak akan diteruskan.

Ia bertujuan mengekang dan menghalang daripada berlakunya gelombang keempat penularan wabak Covid-19 dan satu tarikh yang lain akan ditetapkan untuk PRK tersebut.

“Sesungguhnya, Al-Sultan Abdullah amat prihatin terhadap keselamatan rakyat jelata ekoran daripada kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian Covid-19 di negara ini sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 pada 26 September lalu.

“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda berpendapat bahawa amatlah wajar PRK ini dibatal dan ditangguhkan demi keselamatan rakyat jelata dan kesejahteraan negara.

“Perkenan Seri Paduka Baginda ini setelah mengambil iktibar dan pengalaman dari PRN Sabah ke-16 yang menjadi faktor utama gelombang ketiga penularan Covid-19 di negara ini,” kata kenyataan itu.

Selain itu, perkenan baginda juga mengambil kira jumlah pemilih berdaftar yang tinggal di luar bahagian P.185 Batu Sapi yang dijangka merentas daerah dan negeri untuk pulang mengundi.

“Berdasarkan data SPR, jumlah pemilih berdaftar P.185 Batu Sapi adalah 32,962 orang dan sejumlah 3,170 orang daripadanya beralamat di luar bahagian Parlimen ini, termasuk di Semenanjung dan Sarawak.

“Di samping itu, dianggarkan sejumlah 16,000 pemilih beralamat umum, iaitu tiada nombor rumah, dan akan menyukarkan pelaksanaan Undi Pos,” katanya.

Baginda juga menasihati rakyat agar berdisplin dan memainkan peranan masing-masing dalam membantu kerajaan dan pihak-pihak berkuasa membendung wabak ini.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan dan sanjungan tinggi kepada para wira dan wirawati di barisan hadapan atas ketabahan dan pengorbanan menjalankan tanggungjawab tanpa mengira masa dan penat lelah.

“Seri Paduka berdua turut menzahirkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa COVID-19 dan berharap mereka tabah menghadapi dugaan.

“Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan ini mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga wabak COVID-19 ini dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri dengan segera,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette