Home Nasional Covid-19: Jumlah katil pesakit ditambah 14 kali ganda

Covid-19: Jumlah katil pesakit ditambah 14 kali ganda

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hadir pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 18 NOVEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Jumlah katil pesakit Covid-19 di Selangor, Kuala Lumpur (WPKL) dan Putrajaya telah ditingkatkan hampir 14 kali ganda iaitu daripada 345 katil pada 1 Oktober lalu kepada 4,739 buah katil.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil langkah dengan menambah jumlah katil rawatan sedia ada di Hospital Sungai Bulih (HSgB) kepada kepada 630 buah katil; Hospital Kuala Lumpur (831 buah katil) dan menukar status Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) kepada hospital hibrid Covid-19 dengan 230 buah katil.

“KKM turut membuka semula lapan blok Institut Latihan KKM (ILKKM) Sungai Buloh sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dengan kapasiti 2,400 buah katil.

“KKM juga meneruskan penggunaan Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah dengan kapasiti semasa 648 buah katil,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, bagi melancarkan tadbir urus dan pengoperasian kesemua hospital dan PKRC di Selangor, KUala Lumpur dan Putrajaya, KKM dengan bantuan Majlis Keselamatan Negara  telah menubuhkan Pusat Kawalan Bersepadu Covid-19 Wilayah Tengah yang akan diketuai oleh Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Sha’ari Ngadiman.

Jelasnya, Sha’ari akan dibantu  Pakar Kecemasan dari HSgB, Dr. Sarah Shaikh Abdul Karim, sebagai timbalan beliau. – MalaysiaGazette