WASHINGTON – Donald Trump mengesahkan telah memecat seorang pegawai yang didakwa tidak sependapat dengannya berhubung tuntutan penyelewengan dalam undi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS).
Trump memberitahu, Christopher C. Krebs. dipecat sebagai Ketua Agensi Keselamatan Siber dan Keselamatan Infrastruktur (Cisa) kerana kenyataannya “sangat tidak tepat” mengenai integriti undi.
Presiden AS itu menolak untuk mengesahkan keputusan pilihan raya AS dan telah membuat tuntutan tidak berasas mengenai penipuan undi secara “besar-besaran”.
Sedangkan pentadbiran pilihan raya telah menegaskan bahawa pilihan raya yang diadakan baru-baru ini adalah paling selamat dalam sejarah AS.
Krebs adalah pegawai kanan yang dipecat selepas pilihan raya AS selepas Setiausaha Pertahanan, Mark Esper – yang kesetiaannya diragui oleh Trump.
Terdapat juga spekulasi di Washington yang mendakwa sebelum Trump meninggal White House pada bulan Januari ini, Pengarah Agensi Perisikan Berpusat (CIA), Gina Haspel dan Pengarah Biro Perisikan Persekutuan (FBI), Christopher Wray juga akan dipecat.
Seperti pegawai lain yang dipecat oleh Trump, Krebs juga dilaporkan hanya mengetahui pemecatannya selepas membaca ciapan presiden itu.
Namun, Krebs bekas pegawai tinggi Microsoft tidak menyesal dipecat.
“Rasa bangga dapat berkhidmat. Kami melakukan yang benar. Mempertahankan hari ini, selamat esok,” katanya menerusi Twitter.
Namun sebelum beberapa jam dipecat, Krebs memuat naik ciapan yang menyangkal dakwaan Trump berhubung penyelewengan dalam proses undi.
“ICYMI: Mengenai tuduhan bahawa sistem pemilihan dimanipulasi, 59 pakar keselamatan pilihan raya semua setuju, ‘dalam setiap kes yang kita ketahui, tuntutan ini sama ada tidak berasas atau secara teknikal tidak berasas.’ #protect2020”. – MalaysiaGazette