Home Nasional Malaysia boleh mainkan peranan walau tanpa Statut Rom – Kamarudin

Malaysia boleh mainkan peranan walau tanpa Statut Rom – Kamarudin

Datuk Kamarudin Jaffar

KUALA LUMPUR – Malaysia masih boleh terus memainkan peranan di peringkat antarabangsa walaupun tanpa menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Perkara itu dijelaskan Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau memberitahu, Malaysia melalui Kementerian Luar serta agensi berkaitan sentiasa aktif di arena global termasuk dalam isu Rohingya dan Palestin.

Katanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) kekal dengan keputusan tidak menyertai Statut Rom ICC selepas kerajaan terdahulu membuat keputusan menarik diri tahun lepas susulan bantahan rakyat.

“Kerajaan hari ini amat memahami hasrat rakyat (tidak sertai Statut Rom ICC) berbanding kerajaan terdahulu yang kononnya mendapat mandat rakyat.

“Justeru, negara melalui Kementerian Luar serta agensi lain sentiasa aktif dan akan terus berperanan di peringkat antarabangsa termasuk isu berkaitan Rohingya, Palestin dan sebagainya,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen (PKR-Petaling Jaya), Maria Chin Abdullah yang bertanya tentang saluran yang boleh kerajaan gunakan berhubung jenayah terhadap kemanusiaan khususnya dalam isu Rohingya atau Palestin dan insiden pesawat MAS ditembak, susulan keputusan negara menarik diri daripada menyertai Statut Rom.

Mengulas lanjut Kamarudin berkata, kerajaan PN hanya akan melakukan sesuatu berdasarkan apa yang rakyat mahukan.

“Kita akan memastikan tindakan kita berpandukan kepada apa yang majoriti rakyat Malaysia hendak,” ujarnya. – MalaysiaGazette