KUALA LUMPUR – Prosiding mengenai isu pertukaran tanah, Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan 1BestariNet akan dijalankan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mulai 30 November ini.
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, prosiding itu perlu dibuat selepas pihaknya mendapat taklimat daripada Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK), Tan Sri Ambrin Buang pada Isnin lalu.
“PAC membuat keputusan akan mengadakan prosiding berhubung pertukaran tanah (landswap) dari tahun 1995 hingga 2018 di bawah Kementerian Pertahanan, pelaksanaan AES dari tahun 2012 hingga 2018 di bawah Kementerian Pengangkutan dan 1BestariNet dari tahun 2011 hingga 2019 di bawah Kementerian Pendidikan.
“PAC berpendapat terdapat merit dalam ketiga-tiga isu untuk dibawa dalam prosiding jawatankuasa ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Kah Wong mendedahkan kaedah penyelesaian terhadap 97 transaksi penjualan tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang telah terjual sejak tahun 2011 tidak merujuk kepada sebarang prosedur operasi standard (SOP).
Katanya, berdasarkan prosiding dijalankan pihaknya, PAC mendapati proses itu terlalu longgar, terdedah kepada penyalahgunaan kuasa dan kurang melindungi kepentingan DBKL dan warga kota Kuala Lumpur.
Jelas beliau, pihaknya turut mendapati DBKL tidak mempunyai sebarang SOP bagi urusan pelupusan atau penjualan tanah miliknya.
“Hanya selepas tahun 2015, DBKL menambah baik proses penjualan dan pelupusan tanah menerusi pemerkasaan Jawatankuasa Penswastaan melalui penyediaan senarai semak yang mempunyai prosedur yang lebih terperinci dan mendapat pengiktirafan ISO (tahun 2017),” tambahnya. – MalaysiaGazette
salah PH la nihhhh