Home Nasional Penjualan alat permainan seks berleluasa di e-dagang, MBM minta pantau

Penjualan alat permainan seks berleluasa di e-dagang, MBM minta pantau

KUALA LUMPUR – Majlis Belia Malaysia (MBM) mendakwa penjualan alat permainan seks (sex toys) dan tembakau di platform e-dagang semakin berleluasa.

Presidennya Jufitri Joha perkata, kedua-dua barangan ini dijual secara terbuka di platform e-dagang antarabangsa iaitu Lazada dan Shopee selain penjual kecil-kecilan yang lain.

Situasi ini menurut beliau menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat amnya dan khususnya ibu bapa kerana melibatkan risiko gejala sosial di kalangan generasi muda.

“Produk tembakau termasuk rokok, curut dan produk merokok alaf baru dikawal di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004) oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ini (penjualan alat permainan seks) bertentangan dengan adat ketimuran apatah lagi memberi kesan besar kepada generasi. Yang merisaukan akan meningkatkan lagi gejala sosial yang berkaitan.” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Bukan sahaja penjualan malah katanya lagi, pengiklanan terhadap penjualan alat permainan seks dan tembakau juga didapati berleluasa.

“Pihak berkepentingan ini telah membuat promosi secara tidak langsung dengan turut memperkenalkan produk tembakau yang digunakan bersama peralatan,” jelasnya.

MBM ujar Jufitri khuatir sekiranya penjualan ini tidak ditangani boleh merosakkan pembangunan modal insan memandangkan sekarang majoriti generasi muda pelbagai lapisan masyarakat mempunyai telefon pintar yang memudahkan mereka mengakses promosi barangan sebegini.

“Sepanjang Malaysia berdepan dengan pandemik Covid-19 rata-rata masyarakat telah bertukar kepada norma baharu termasuk membuat pembelian secara dalam talian. Hal ini tidak terkecuali melibatkan promosi dan penjualan produk berasaskan tembakau dan aksesori seks sejak kebelakangan ini dilihat secara berleluasa.

“Bila anak-anak mudah akses dengan media sosial iklan-iklan seperti ini sentiasa hadir dan mereka akan mudah membuka info sebegini,” beliau berkata.

Sehubungan itu Jufitri menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memantau penjualan tembakau dan alat permainan seks sekaligus mengambil tindakan undang-undang dengan segera.

“Lambakan jualan hasil tembakau dan aksesori seks (permainan seks) dalam talian seolah-olah menunjukkan tiada undang-undang diperketat mengawal aktiviti ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu beliau berkata MBM akan menghantar surat kepada kedua-dua kementerian ini agar isu ini menjadi perhatian dan ditangani dengan segera.-MalaysiaGazette