KUALA LUMPUR – Projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo secara keseluruhannya dijangka dapat disiapkan pada tahun 2023.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ketika ini, projek di Sarawak telah siap 53 peratus dan Sabah pula adalah 35 peratus.
Beliau mengakui projek itu telah lewat daripada yang dijadualkan gara-gara pandemik Covid-19 namun kerajaan akan mencari jalan untuk mempercepatkannya.
“Pada saya, masa ini anggaran yang ada dapat siap 2022 tetapi untuk realistik projek ini akan siap pada 2023 secara keseluruhan.
“Itu saya cakap untuk bahagian fasa pertama di Sarawak dan untuk Sabah mungkin lebih daripada itu.
“Sabah baru berjalan 15 projek bagi fasa pertama daripada 35 projek, lima dalam proses tender dan maknanya ada 15 lagi pakej yang bergantung dengan peruntukan.
“Kita hanya boleh buat anggaran pada 20 pakej. 15 pakej sedang berjalan dan saya percaya, Insya-Allah pada 2023 dan lain belum ada peruntukan dan tak boleh ‘say too much’,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Belanjawan 2021 KKR di sini hari ini.
Pada Julai lalu, Fadillah memberitahu, fasa satu Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 32 peratus sehingga Jun lalu.
Beliau berkata, perkembangan itu melibatkan 11 pakej kerja yang sedang dilaksana.
Jelas beliau, proses sebut harga sedang dilaksana terhadap tiga pakej kerja baharu dan satu pakej kerja melibatkan laluan dari Tawau ke Semporna yang telah ditamatkan kontrak.
Ia dijangka dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini. – MalaysiaGazette