Home Nasional Terengganu mohon PKPB ditamatkan lebih awal

Terengganu mohon PKPB ditamatkan lebih awal

Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu telah memohon agar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini ditamatkan lebih awal berbanding jadual asal yang ditetapkan pada 6 Disember ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sejak PKPB dilaksanakan bermula 9 November lepas, pentadbiran negeri sentiasa bekerjasama dengan semua jabatan dan agensi kerajaan berkaitan untuk memastikan penularan COVID-19 dapat dikawal sebaik mungkin.

Beliau berkata, kerajaan negeri bersama Jabatan Kesihatan Negeri, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Malaysia dan lain-lain jabatan juga telah bekerja keras mencari jalan untuk mengumpul maklumat terkini supaya PKPB di Terengganu dapat ditamatkan lebih awal.

“Berbekalkan data terakhir itu, saya telah bertemu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Ahad lepas dan mengemukakan fakta berkaitan kawalan COVID-19 di Terengganu serta memohon supaya PKPB di Terengganu ditamatkan lebih awal berbanding jadual asal.

“Saya juga berterima kasih kepada Perdana Menteri yang sangat prihatin untuk mempertimbangkan permohonan ini dengan membawanya dalam mesyuarat di Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, beliau turut mengutarakan sekali lagi perkembangan situasi terkini COVID-19 di Terengganu hari ini dan alasan kenapa PKPB perlu ditamatkan lebih awal daripada jadual asal dalam mesyuarat secara dalam talian yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dari pejabat beliau.

“Saya juga ingin merakamkan terima kasih kepada rakan-rakan daripada pimpinan UMNO Terengganu yang bertemu dengan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menyuarakan perkara yang sama.

“Ini antara contoh kerjasama yang harus terus berlaku untuk kepentingan bersama. Kita akan terus berusaha dan berdoa agar dalam tempoh beberapa hari lagi satu keputusan mengenai permohonan ini dapat dibuat,” katanya. – Bernama