Home Nasional Tiada gangguan bekalan air – Amirudin

Tiada gangguan bekalan air – Amirudin

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. foto MOHD ADZLAN, 21 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang gangguan bekalan air tidak berjadual kepada pengguna di Lembah Klang meskipun Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dihenti tugas sejak jam 7 malam tadi.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberi jaminan itu kerana tahap pencemaran bau yang dikesan sudah mencapai bacaan 0 TON sejak jam 9.30 malam tadi.

“LRA Rantau Panjang telah mula beroperasi semula jam 9.30 malam tadi setelah isu pencemaran yang dikesan telah berjaya diselesaikan dan mencapai tahap 0 Ton.

“Tiada gangguan bekalan air kepada para pengguna kerana loji hanya dihenti tugas selama beberapa jam sahaja,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya, sebentar tadi.

Terdahulu LRA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas sekali lagi selepas Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd mengesan pencemaran seakan bahan pelarut di dalam Sungai Selangor, hari ini.

Menurut Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), pencemaran bau itu yang dikesan itu dengan bacaan 1 TON di muka sauk LRA Rantau Panjang pada jam 7 malam tadi.

Berikutan itu, LRA Rantau Panjang telah dihenti tugas pada jam 7.10 malam. – MalaysiaGazette