SYDNEY – Australia Selatan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) paling ketat di dunia bermula Khamis ini bagi mengawal penularan wabak Covid-19.
Bagi tempoh enam hari akan datang, tiada siapa dibenarkan keluar rumah walaupun untuk melakukan senaman atau membawa anjing berjalan-jalan.
Hanya seorang daripada penghuni rumah yang sama dibenarkan keluar setiap hari untuk membeli barangan keperluan.
Sekolah, universiti, kafe dan restoran diarahkan tutup manakala majlis perkahwinan dan upacara pengebumian pula tidak dibenarkan sama sekali.
Pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan.
“Kami mahu mengenakan PKP yang ketat dan awal kerana mahu virus ini dikekang secepat mungkin,” kata Ketua Menteri Australia Selatan, Steven Marshall mengenai langkah tersebut.
Seramai 23 orang dijangkiti Covid-19 di ibu negeri Australia Selatan, Adelaide, selepas seorang tukang cuci di sebuah hotel yang digunakan untuk kuarantin individu pulang dari luar negara telah dijangkiti virus berkenaan.
Susulan itu, pihak berkuasa kesihatan negeri berkenaan berpendapat, langkah circuit breaker perlu dilaksanakan bagi mengelakkan virus berkenaan menular dengan lebih meluas.
Menurut Marshall, kebanyakan individu yang dijangkiti tidak menunjukkan sebarang simptom.
Terdapat kemungkinan yang tinggi, virus berkenaan dipindahkan melalui permukaan manakala tempoh inkubasi pula sesingkat 24 jam.
“Keadaan ini sangat membimbangkan kerana individu-individu yang dijangkiti tidak menunjukkan sebarang simptom yang bias akita lihat,” katanya lagi.-Agensi