Home Nasional Fasa pemulihan Covid-19 buka ruang kegiatan rasuah – Azam

Fasa pemulihan Covid-19 buka ruang kegiatan rasuah – Azam

Azam Baki

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Anti-Corruption and Transparency Experts Working Group (ACTWG) Friends of The Chair (FoTC) telah mencadangkan agar  penguatkuasaan serta aspek pencegahan efektif perlu dilaksanakan bagi menangani trend perlakuan rasuah dalam tempoh peralihan semasa dan pasca pemulihan Covid-19.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata, aktiviti seperti penyeludupan, pemerdagangan serta kemasukan secara haram boleh berlaku setelah pembukaan semula pintu sempadan.

“Fasa pemulihan krisis Covid-19 akan membolehkan aktiviti perniagaan mula berkembang dan situasi ini bakal membuka ruang untuk berlakunya kegiatan rasuah.

“Sehubungan dengan itu, ACTWG harus memastikan penguatkuasaan dan aspek pencegahan yang efektif dilaksanakan bagi menangani trend perlakuan rasuah sedemikian,” ujar beliau dalam satu kenyataan oleh SPRM hari ini.

Azam Baki mempengerusikan mesyuarat ACTWG FoTC mewakili Malaysia bersama wakil-wakil daripada sembilan ahli ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang diadakan secara maya di Ibu Pejabat SPRM, Selasa lalu.

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan mesyuarat ACTWG FoTC mewakili Malaysia bersama wakil-wakil daripada sembilan ahli ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang diadakan secara maya di Ibu Pejabat SPRM, pada Selasa lalu.

Sembilan ahli ekonomi APEC yang menyertai mesyuarat ini ialah Malaysia, Chile, China, Thailand, Canada, United States of America, New Zealand, Vietnam dan Australia, serta Sekretariat APEC yang berpangkalan di Singapura yang diwakili oleh Denisse Hurtado. Antara agenda utama yang dibincangkan termasuk pelaksanaan Pelan Strategik ACTWG 2019-2022 serta program kerja dan inisiatif New Zealand yang bakal menjadi tuan rumah APEC pada tahun 2021.

Dalam pada itu, Datuk Seri Azam menzahirkan keyakinan bahawa New Zealand dapat menganjurkan APEC ACTWG dan Anti-Corruption Authorities and Law Enforcement Agencies (ACT-NET) pada tahun 2021 dengan jaya atas sokongan yang diberikan oleh ahli-ahli.

“Pertemuan ini juga merupakan permulaan yang baik untuk wakil sembilan ahli ekonomi APEC berkumpul dan membincangkan pelbagai inisiatif jangka panjang untuk ACTWG dan ACT-NET dalam perkongsian untuk membanteras rasuah dengan lebih berkesan,” ujarnya.

Di samping itu, Azam juga berharap New Zealand mendapat manfaat daripada penganjuran ACTWG dan ACT-NET oleh Malaysia pada tahun ini sebagai penanda aras dan rujukan penting untuk penganjuran pada tahun hadapan.

Tambah beliau, perbincangan kali ini juga merupakan penghargaan kepada Malaysia sebagai tuan rumah APEC pada tahun ini yang mana SPRM sebagai peneraju mesyuarat ACTWG sejak siri pertama diadakan pada Februari lalu.

Hadir bersama Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan & Penyelidikan selaku Ketua Delegasi Malaysia, TPj Mohd. Hafaz Nazar. – MalaysiaGazette