Home Nasional HSA siasat pegawai perubatan biadap hambur makian pesakit

HSA siasat pegawai perubatan biadap hambur makian pesakit

Hospital Sultanah Aminah

JOHOR BAHRU – Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan seorang pegawai perubatannya bersikap biadap dengan menghambur makian terhadap pesakit di media sosial, baru-baru ini.

Pengarah HSA Dr Mokhtar Pungut@Ahmad menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Johor, hari ini berkata, pihaknya memandang serius isu terbabit dan tindakan akan diambil sekiranya dakwaan itu benar.

“Merujuk kepada isu yang sedang tular di media sosial, pihak pengurusan HSA Johor Bahru memandang serius perlakuan pegawai perubatan terlibat.

“Sehubungan itu, satu jawatankuasa khas di peringkat hospital telah ditubuhkan untuk menyiasat secara terperinci isu ini. Sekiranya didapati benar, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pegawai perubatan terlibat,” kata Dr Mokhtar.

Beliau dalam masa sama memohon maaf bagi pihak HSA Johor Bahru atas penyataan yang telah dikeluarkan oleh pegawai perubatan berkenaan sehingga menyinggung perasaan masyarakat.

Baru-baru ini, dipercayai pegawai perubatan terbabit telah memuat naik status dengan menggunakan bahasa yang kasar di Twitter ekoran ketidakpuasan hati terhadap seorang pesakit yang dirujuk ke hospital untuk rawatan pada awal pagi.- BERNAMA