Home Nasional Kalau yang saya bantah ini tak diubah, saya tolak belanjawan ini –...

Kalau yang saya bantah ini tak diubah, saya tolak belanjawan ini – Hassan

Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Seorang wakil pembangkang mendesak kerajaan membuat beberapa pindaan terhadap Belanjawan 2021 yang dibentangkan sebelum ini jika mahu ia disokong sebulat suara.

Ahli Parlimen (PH-Pasir Gudang) Hassan Abdul Karim berkata, jika ia tidak dipinda, kerajaan akan berdepan hilang sokongan sambil mendakwa majoriti akan menolaknya.

“Saya berharap kepada menteri kewangan, jika sayang kerajaan Perikatan Nasional (PN) dari ditolak, buat pindaan apa yang kami cadang, apa yang kami tuntut, jika tidak kerajaan ini pada 26 November nanti akan tumbang,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut memberi beberapa contoh pindaan perlu dibuat antaranya peruntukan RM85.5 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan geran one-off RM8.6 juta kepada Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu ditarik dan diberi kepada sektor yang lebih memerlukan.

Kerajaan juga dicadang agar mengurangkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM71 bilion sebaliknya menambah peruntukan kepada Tabung Wang Covid-19.

Ujarnya, peruntukkan Tabung Wang Covid-19 berjumlah RM17 bilion tidak mencukupi dan hanya merangkumi lima peratus daripada keseluruhan Belanjawan 2021.

“Saya mencadangkan supaya perbelanjaan pembangunan sebanyak RM71 bilion ini dikurangkan kepada kira-kira RM50 bilion seperti dalam Belanjawan 2020 dan bakinya dimasukkan dalam Tabung Wang Covid-19.

“Dengan lebihan peruntukan itu, kita boleh beri kepada vaksin, melaksanakan ujian calitan Covid-19 kepada rakyat selain, menaik taraf operasi kesihatan negara.

“Malah, kita juga boleh gunakan wang terbabit untuk meneruskan subsidi upah, beri wang tunai kepada rakyat dan pekerja yang terjejas serta memerlukan. Jadi tidak perlulah mereka mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” ujarnya.

Dalam pada itu Hassan mengharapkan agar intipati belanjawan tersebut dapat diubah sebelum dibawa untuk diluluskan minggu depan.

“Kalau yang saya bantah ini tak diubah, saya beritahu dengan ikhlas saya akan tolak belanjawan ini,” katanya.

Dalam ucapannya juga, Hassan turut meminta kerajan menjelaskan peruntukan RM1 bilion menerusi projek khas di bawah jabatan perdana menteri dan peruntukan RM13.61 bilion kepada Kementerian Kewangan sebagai suntikan modal.

“Isu ini kena jawab, kalau tak dapat jawapan jelas kita tolak bajet ini. Tak boleh lulus walaupun ada yang baik bajet ini,” tambahnya.

Selain itu, beliau juga mendesak kerajaan melanjutkan moratarium pinjaman secara automatik kepada semua pihak.

– MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bagus! Jika Bajet 2021 PN ditolak, maka Agong akan ada alasan untuk memperkenankan permintaan Kerajaan PN untuk ishtiharkan darurat diseluruh Malaysia bagi memerangi Wabak Virus Cina Komunis aka Covid19 yang turut melibatkan penggantungan parlimen selama lebih kurang setahun.!

Comments are closed.