Home Politik Usul undi percaya perlu diuji di Dewan Rakyat – Ahmad Zahid

Usul undi percaya perlu diuji di Dewan Rakyat – Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang perlu memiliki sifat kejujuran sama ada sebagai rakan kongsi atau atas nama dokongan.

Ahli Parlimen (BN-Bagan Datuk), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penterjemahan terhadap kejujuran bukan hanya sekadar persetujuan lisan tetapi turut melibatkan pelaksanaan.

Katanya, tiada soalan mengenai siapa yang berbudi atau siapa yang terhutang budi tetapi bagaimana kebersamaan itu harus diterjemahkan.

“Soal tipu muslihat politik hendaklah diketepikan. Apabila kejujuran politik diberikan keutamaan jangan ada telunjuk lurus kelingking berkait.

“Jadikan seperti air dalam pembentung biarpun airnya berkocak, namun airnya tidak tumpah keluar, jika penutupnya adalah kejujuran,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Dengan memberikan contoh Ahmad Zahid mahu agar semua pihak mengambil peristiwa Ibrah Perjanjian Tahkim antara Muawiyah dan Abu Musa As-Shaari yang tidak berlaku antara rakan-rakan kongsi politik.

Katanya, kejatuhan empayar-empayar terdahulu ialah apabila pemimpin-pemimpinnya merasakan dirinya popular lalu melupakan soal-soal pokok dan mengutama isu-isu furuq atau cabang.

Ujarnya, sifat ikhlas dan jujur adalah sesuatu yang diharapkan oleh rakyat lenbih-lebih lagi mereka turut mengharapkan sesuatu yang terbaik diberikan kepada mereka dan perkara itu mesti diberikan keutamaan.

“Dewan yang mulia ini merupakan pentas terbaik untuk negara ini berada dalam situasi politik yang stabil. Sama ada terdapat usul percaya atau sebaliknya, ianya hendaklah diuji di dewan yang mulia ini.

“Jika ini tidak dapat dilakukan kerana kekangan peraturan mesyuarat, sesuatu mesti dipersesuaikan dengan urusan kerajaan mesti diutamakan.

“Biarlah kerajaan yang menjadikannya sebagai urusan kerajaan diutamakan dengan menjadi usul undi percaya dibawa ke dewan yang mulia ini,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, proklamasi darurat bukanlah pilihan malah, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja telahpun menolak apatah lagi percubaan untuk mencadangkan proklamasi darurat dalam apa bentuk sekalipun.

“Jika ini tidak dapat dilakukan ianya hendaklah dikembalikan kepada rakyat sesegera yang mungkin (adakan pilihan raya).

“Suara rakyat, suara keramat. Dari rakyat kita diberi mandat, kepada rakyat juga kita serahkan mandat,” tambahnya. – MalaysiaGazette