Home Seni Hidup Anak-anak obes kerana suka habiskan masa depan skrin

Anak-anak obes kerana suka habiskan masa depan skrin

RIadah seperti bermain bola sepak mampu megelak kanak-kanak daripada menjadi obes. foto MOHD ADZLAN.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Umum mengetahui masalah obesiti bukan sahaja melanda orang dewasa bahkan juga melibatkan kanak-kanak.

Selain daripada faktor persekitaran dan genetik, tidak melakukan aktiviti fizikal merupakan antara penyumbang utama kepada masalahbesiti sehingga meletakkan Malaysia menduduki tangga ketiga teratas di Asia yang mencatatkan peratusan tertinggi bagi obesiti kanak-kanak.

Dalam hal itu, ibu bapa memainkan peranan penting untuk mendorong anak-anak supaya mengamalkan gaya pemakanan sihat, bersenam serta mendedahkan mereka tentang maklumat penyakit tidak berjangkit berkaitan obesiti.

Rosmaniza Osman. foto SYAFIQ AMBAK, 19 NOVEMBER 2020.

Pesara kerajaan, Rosmaniza Osman, 51, berkata, antara langkah yang boleh diambil ibu bapa untuk mengelak masalah obesiti adalah dengan menggalakkan anak-anak membawa bekal makanan ke sekolah.

Menurutnya, ibu-ibu bukan sahaja dapat membekalkan makanan yang terjamin bersih malah mengetahui setiap suapan tersebut berkhasiat untuk anak-anak mereka.

“Selain itu, kita juga perlu dedahkan anak-anak dengan maklumat mengenai obesiti menerusi artikel atau pun keratan akhbar berkaitan permasalahan ini serta kesan-kesannya terhadap kehidupan.

“Pada hujung minggu pula, jangan biasakan bawa anak-anak ke restoran makanan segera namun lebihkan aktiviti riadah, sekurang-kurangnya mereka mesti berpeluh,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Abu Bakar Ramli, 47, menyatakan kekhuatiran mengenai gaya pemakanan murid dan pelajar sekolah masa kini lebih-lebih lagi ketika waktu cuti persekolahan.

Abu Bakar Ramli. foto SYAFIQ AMBAK, 19 NOVEMBER 2020.

Abu Bakar berkata, kebanyakan masa anak-anak akan dihabiskan di rumah dan kurang berminat untuk beriadah kerana mereka lebih gemar menghadap skrin telefon atau televisyen.

“Saya sebagai bapa risau kerana kita lihat sendiri tahun ini sekolah ditutup beberapa kali kerana penularan Covid-19 dan anak-anak meluangkan banyak masa di rumah dengan bermain permainan video, menonton televisyen serta menggunakan telefon pintar.

“Tanpa kita sedar berat badan pun semakin meningkat kerana asyik makan tanpa bersenam. Jadi tanggungjawab ibu bapa bawalah anak-anak ini keluar beriadah atau pun mereka yang mampu mungkin boleh beli peralatan sukan untuk digunakan seisi keluarga di rumah,” katanya.

Baharudin Mohd. Isa. foto SYAFIQ AMBAK, 19 NOVEMBER 2020.

Pandangan yang sama turut disuarakan oleh Baharudin Mohd. Isa, 52, kerana anak-anak zaman sekarang lebih suka menggunakan telefon pintar untuk mengisi masa lapang berbanding keluar untuk berjogging atau bersenam.

“Sekarang ini cuti sekolah jadi mereka tiada aktiviti lain hanya duduk di rumah tapi tak bersenam. Kita tengok pun risau akan kesihatan mereka,” katanya.

Arfah Ali. foto SYAFIQ AMBAK, 19 NOVEMBER 2020.

Manakala bagi Arfah Ali, 50, generasi muda perlu dididik untuk mengamalkan gaya pemakanan yang sihat walaupun kehidupan masa kini yang serba pantas membuatkan kebanyakan orang memilih makanan segera.

Ujar Arfah yang juga seorang peniaga, kesihatan tidak boleh ditukar dengan wang ringgit justeru sejak dari kecil anak-anak perlu tahu betapa bernilainya tubuh badan yang sihat.

“Permasalahan obesiti mengundang kepada pelbagai penyakit kronik yang lain jadi ini tugas kita untuk jelaskan kepada anak-anak mengapa mereka perlu makan yang berkhasiat, bersenam dan sebagainya. Kita bukan sahaja beri tunjuk ajar tapi dalam masa sama jelaskan kepentingan semua perkara ini.

“Selain itu tanya juga apa yang mereka makan ketika di sekolah, kalau boleh beritahu mereka elakkan beli makanan ringan atau tidak sihat di luar pagar. Bukan kita tidak mahu sokong penjaja tapi tahap kebersihan itu penting,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penghantar makanan, Muhammad Faridzal Wan Omar, 30, menyarankan supaya program seumpama Program Fit Malaysia yang pernah dianjurkan sebelum ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

Muhammad Faridzal Wan Omar.  foto SYAFIQ AMBAK, 19 NOVEMBER 2020.

Katanya, program sedemikian secara tidak langsung dapat menarik orang ramai untuk keluar beriadah bersama rakan dan juga keluarga.

“Rakyat Malaysia kurang bersenam dan tidak begitu fokus kepada kesihatan diri. Selain itu, waktu kerja yang tidak tentu menyebabkan sebilangan daripada mereka tidak punya banyak masa untuk bersenam dan kadang kala makan juga tidak menentu itu lah antara punca-puncanya.

“Sebelum ini kalau kita tahu ada Program Fit Malaysia yang berjaya mengumpulkan orang awam untuk bersenam, saya rasa itu salah satu saranan atau inisiatif seumpama yang boleh diteliti semula. Apa pun semuanya terletak pada diri individu tersebut sama ada mereka mahu kekal disiplin untuk mengamalkan gaya hidup sihat atau sebaliknya.

“Jika kita lihat pelbagai program dan juga kempen kesihatan dijalankan oleh kerajaan tapi jika diri individu itu sendiri tidak disiplin maka tidak ada perubahan,” ujarnya.- MalaysiaGazette