Home Utama Kluster Mengketil merebak cepat di Kelantan – Noor Hisham

Kluster Mengketil merebak cepat di Kelantan – Noor Hisham

Dr Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA- Jangkitan Kluster Mengketil yang dikesan di beberapa daerah di Kelantan membimbangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia kerana kluster berkenaan merebak dengan cepat dan dalam masa beberapa hari sahaja  sudah merebak ke Besut, Terengganu.

“Dalam tempoh lima hari, kluster ini merekodkan 41 kes aktif dan dikesan merentasi negeri iaitu di Besut, Terengganu,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 hari ini.

Justeru itu, Noor Hisham berkata, berdasarkan penilaian risiko jangkitan, KKM mengambil tindakan proaktif dengan menasihatkan supaya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kelantan secara keseluruhannya bagi mengawal pergerakan penduduk.

“Apa yang boleh kita lakukan sekarang duduk di rumah dalam tempoh dua minggu dan sekiranya perlu keluar, patuhilah prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Hari ini kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kelantan bermula esok sehingga 6 Disember depan.

Terdahulu Noor Hisham berkata, jangkitan Covid-19 di negeri itu menular berpunca daripada individu dari zon merah pulang ke Kelantan.

“Kita lihat contohnya, Kluster Iktisas, Kluster Cheras, Kluster Kaya dan sebagainya. Jangkitan berlaku di Lembah Klang dan Negeri Sembilan tetapi mereka pulang ke Kelantan membawa jangkitan tersebut yang menjangkiti ahli keluarga serta komuniti,” katanya.

KKM katanya lagi, mengesan berlaku banyak pergerakan antara daerah yang menyebabkan Kluster Mengketil itu terus merebak.

“Sekiranya penduduk berada di rumah dalam tempoh dua minggu, insya-Allah kita boleh mengembalikan semula Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Kelantan,” katanya.

Dalam pada itu kata Noor Hisham, KKM masih belum melakukan kajian makmal terhadap virus Kluster Mengketil bagi mengenalpasti strain dan ciri-cirinya.

“Kluster ini baharu sahaja dikenalpasti dan kajian akan memakan masa sehingga tiga minggu,” katanya.

Terkini, Kelantan merekodkan sebanyak 73 kes aktif, manakala jangkitan Kluster Mengketil dikenalpasti di Kota Bharu, Tanah Merah, Kuala Krai dan Pasir Mas.

Ia berpotensi merebak ke lima daerah lagi berikutan pergerakan penduduk merentas daerah.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PKPB seluruh Kelantan mulai tengah malam ini – Ismail Sabri