KUALA LUMPUR – Sebanyak 257 kes berkaitan barang tiruan telah dikesan dengan nilai rampasan sebanyak RM4,549,122 bermula awal tahun sehingga Oktober lalu.
Kes terbaharu semalam apabila pihaknya merampas sebanyak 1,815 kotak kosong dan 80 kotak berisi sarung tangan tiruan bernilai RM 37,075 menerusi operasi pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Operasi berkenaan dilakukan di sebuah gudang di Taman Perindustrian Bukit Serdang di Seri Kembangan, Selangor, kata Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP Putrajaya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman.
Menurutnya, ketika operasi, pihaknya turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun yang mengaku pemilik premis berkenaan.
“Operasi ini dijalankan hasil daripada aduan wakil pemilik cap dagang berdaftar jenama Max Care mengenai sarung tangan getah tiruan.
“Modus operandi peniaga barang tiruan ini adalah membeli sarung tangan getah daripada pembekal luar negara kemudiannya dibungkus semula menggunakan jenama cap dagangan berdaftar Max Care.
“Perbandingan sarung tangan getah tiruan dengan sarung tangan getah yang asli adalah daripada segi kualiti, ketebalan, warna, pembungkusan dan pencetakan pada kotak pembungkusan.
“Ketika serbuan dijalankan pekerja-pekerja dalam premis sedang leka melakukan aktiviti pembungkusan semula tanpa menyedari kehadiran pegawai-pegawai penguat kuasa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Iskandar Halim, kes itu disiasat di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang- barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.
Jika sabit kesalahan seseorang boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Bagi pertubuhan perbadanan pula mereka boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.-MalaysiaGazette