Home Nasional KPKWM sasar lebih 2,000 kanak-kanak JKM dapat lanjutkan pengajian tinggi

KPKWM sasar lebih 2,000 kanak-kanak JKM dapat lanjutkan pengajian tinggi

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun (dua kanan) menyampaikan surat tawaran MARA kepada penerima, Aliff Iskandar Mohd Dzahir (dua kiri) pada Majlis Penyerahan Surat Niat Bagi Program Penjana MARA Kepada Penghuni Dan Bekas Penghuni Institusi JKM di Kementerian Pembangunan Wanita Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 20 NOVEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Seiring dengan hasrat untuk tidak mengenepikan kanak-kanak tidak bernasib baik, Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan hampir 2,000 kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat melanjutkan pelajaran di peringkat kemahiran.

Berikutan itu, seramai 14 kanak-kanak berusia 17 hingga 18 tahun di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di Institusi Majlis Amanah Rakyat (Mara).

“Sekarang ini penilaian tengah dibuat, saya rasa tidak sampai sebulan cadangan yang kita ajukan, lepas ini akan lebih ramai lagi kerana buat masa ini daripada jumlah 1,896 kanak-kanak di institusi kita, 600 orang adalah yang berumur 17 tahun dan 18 tahun.

“Ini yang kita akan berikan keutamaan dahulu, kerana lepas habis sahaja umur 18 tahun, mereka akan menghadapi realiti kehidupan sebenar,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, hari ini.

Daripada 14 kanak-kanak itu, lapan daripada adalah Sekolah Tunas Bakti (P) Sg Lereh, Melaka, dua kanak-kanak daripada Rumah Budak Laki-laki Tun Abd Aziz, Melaka, dua daripada Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah dan dua lagi daripada Asrama Akhlak (P) Bahagia, Kuala Lumpur.

Tawaran ini adalah bagi mengikuti pendidikan latihan kemahiran dan persediaan ke alam pekerjaan.

Program julung kali ini membabitkan kerjasama strategik antara KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan Mara.

Ia bertujuan untuk mengukuh kemandirian kanak-kanak melalui peluang latihan dan kemahiran yang disediakan oleh Mara.

“Program ini adalah persediaan apabila tamat pengajian di institusi kita, mereka sudah ada sijil kemahiran dan kita juga akan mengusahakan mereka ini untuk mendapatkan pekerjaan.

“Ini adalah salah satu usaha di bawah kementerian untuk membantu anak-anak yang berada dibawah JKM.

“Program ini menawarkan kemudahan program latihan dan kemahiran kepada kumpulan sasar bagi meningkatkan keboleh pasaran mereka terutama di masa ekonomi yang meruncing ekoran pandemik Covid-19,” kata Rina lagi.

Selain itu, Rina memberitahu, kerjasama strategi ini juga adalah satu inisiatif KPWKM dan JKM untuk menyiapkan kanak-kanak tersebut menempuh alam pekerjaan dan integrasi dalam masyarakat.

Inisiatif yang digarap ini dilihat sebagai salah satu individu proaktif dalam program pembangunan kanak-kanak di bawah JKM.

Antara faedah yang dapat diperbaiki latihan pendidikan kemahiran set-skill yang diperlukan industri, pembangunan diri dan daya saing (latihan sofstkill), pengupayaan digital dan sumber pendapatan baru yang selari dengan trend perniagaan semasa. – MalaysiaGazette