KAJANG – Seorang pekerja kontrak dihadapkan di Mahkamah Kajang atas lima pertuduhan merompak, mencabul dan melakukan persetubuhan secara paksaan terhadap pekerja wanita sebuah spa.
Tertuduh Noor Hezree Mohd Arifin, 32, yang berasal dari Semenyih, Selangor mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa.
Empat pertuduhan pertama ke atas tertuduh dibacakan secara berasingan di Mahkamah Sesyen dan manakala pertuduhan kelima dibacakan di Mahkamah Majistret.
Tertuduh yang dibawa ke mahkamah pada pukul 9 pagi dikawal ketat oleh anggota polis dalam tangan bergari.
Dalam pertuduhan pertama, tertuduh yang mempunyai dua anak berusia 10 dan 11 tahun itu didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii iaitu memasukkan zakar ke dalam mulut mangsa berusia 31 tahun.
Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Dalam pertuduhan keduanya, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan kekerasan jenayah terhadap mangsa dengan niat hendak mencabul kehormatannya dengan cara meraba keseluruhan tubuh mangsa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada seksaan tersebut.
Mengikut pertuduhan ketiga, suspek turut didakwa melakukan perhubungan seks dengan mangsa iaitu memasukkan jari ke dalam vagina mangsa tanpa kebenarannya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum 30 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Manakala dalam pertuduhan keempatnya tertuduh didapati melakukan rompakan ke atas mangsa iaitu merompak seutas rantai leher, rantai kaki dan wang tunai RM953 dengan bersenjatakan sebilah pisau cutter.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan yang mmperuntukkan penjara maksimum 14 tahun dan denda dan juga sebatan jika disabitkan kesalahan.
Dia dituduh melakukan kesemua kesalahan itu jam 12.30 pada 12 November lalu di AJS SPA dan Saloon yang terletak di No 5-2 Tingkat 1, Jalan Seri Putra 1/6, Bandar Seri Putra, Bangi.
Timbalan Pendakwa Raya, Norhana Sahat mencadangkan supaya tertuduh tidak dibenarkan jamin memandangkan dia seorang yang ganas dan pernah melarikan diri ketika dalam tahanan polis untuk proses mengambil sampel darah dan DNA di Hospital Kajang.
“Tuan hakim saya juga menyeru supaya jangan menggunakan budi bicara dalam kes ini dan tidak benarkan diikat jamin kerana suspek dikhuatiri akan mengganggu mangsa,” katanya.
Tertuduh dalam rayuannya meminta hakim membenarkan jaminan minimum kerana mempunyai tanggungan dua anak berusia 10 dan 11 tahun dan seorang isteri.
Setelah mendengar hujah Norhana, Hakim Mohd Kafli Che Ali tidak membenarkan suspek diikat jamin dan menetapkan 7 Januari depan sebagai tarikh sebutan serah dokumen kes.
Manakala dalam pertuduhan kelima yang didengar di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli, tertuduh didakwa dengan sengaja melarikan diri daripada jagaan anggota polis, Lans Koperal Muhammad Afendi Mahadi yang mana dia telah ditahan dengan sah di sisi undang-undang bersabit laporan yang dilakukan Balai Polis Bangi.
Noor Hezree boleh dihukum di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Tertuduh melakukan kesalahan itu jam 11.40 pagi pada 13 November lalu di Bilik Rawatan Hospital Kajang.
Tertuduh juga mengaku tidak bersalah untuk kesalahan itu dan mohon dibicarakan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hairul Iqram Hairuddin dan mencadangkan mahkamah supaya tidak membenarkan suspek diikat jamin dengan alasan melarikan diri dari tahanan ketika mengambil sampel ujian DNA di Hospital Kajang dan mempunyai empat kes pertuduhan di Mahkamah Sesyen.
Bagaimanapun, Majistret Muhammad Noor setelah mendengar rayuan tertuduh yang mempunyai dua anak kecil membenarkannya diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin.
Tertuduh dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran sehingga kes perbicaraan selesai dan menetapkan 7 Januari ini untuk serahan dokumen kes dan laporan DNA.
Bagaimanapun, Noor Hezree dibawa ke IPD Kajang memandangkan dia tidak dibenar diikat jamin untuk empat pertuduhan.
Isteri tertuduh berusia sekitar 30-an yang hadir sebagai penjamin dan duduk di galeri awam sambil sebak dengan harapan suaminya dibenarkan jamin berkecai setelah ditolak mahkamah.
Wanita malang itu turut cuba memujuk polis dan Pegawai Penyiasat kes berkenaan Inspektor Nurhafizah sekiranya terdapat cara untuk membebaskan suaminya namun usahanya buntu memandangkan tahap serius pertuduhan yang dihadapi suaminya.
Wanita itu sempat merayu polis sambil sebak,” puan boleh tak minta supaya wajah suami saya tidak dirakam oleh media sebab takut nanti keluarga saya dapat tahu kes ini dan saya akan rasa malu,”.- MalaysiaGazette