MALAYSIA sedang mengalami gelombang ketiga COVID-19. Gelombang ini menyaksikan jumlah kes yang sangat banyak jika dibandingkan dengan gelombang pertama dan kedua. Walaupun PKPB di Lembah Klang telah memasuki bulan kedua, namun bilangan kes terus meningkat hari demi hari. Kementerian Kesihatan Malaysia tanpa jemu menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi SOP dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan.
Di saat masih tiada penawar kepada penyakit ini, kita semua perlu berjaga-jaga dan meminimumkan risiko untuk mendapat jangkitan. Walaupun kadar kematian di Malaysia kurang daripada 1%, kita tidak boleh bersikap sambil lewa atau mengingkari SOP yang ditetapkan. Jika kita tidak bernasib baik, mungkin kitalah sebenarnya yang berada dalam lingkungan 1% tersebut. Mungkin juga kita yang menyebarkan jangkitan kepada ibu atau bapa hingga menyebabkan kematian.
Pematuhan SOP perlu diamalkan oleh semua lapisan masyarakat, tanpa mengira umur, pangkat, bangsa dan agama. Media massa memainkan peranan yang penting dalam menyebarkan maklumat terkini tentang COVID-19. Saban hari, masyarakat disajikan dengan sidang akhbar tentang status terkini COVID-19 oleh Ketua Pengarah Kesihatan dan pasukannya. Kita dapat lihat Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memakai pelitup muka semasa membentangkan laporan dan menjawab soalan wartawan.
Tiga orang timbalan beliau juga memakai pelitup muka, setia berdiri di kiri dan di kanan beliau dengan jarak lebih satu meter. Ini adalah gambaran sebenar bagaimana SOP dipatuhi semasa menjalankan sidang akhbar atau melakukan sebarang aktiviti yang melibatkan ramai orang. Pihak KKM menunjukkan contoh yang baik yang perlu diikuti oleh semua orang.
Media massa juga dilihat kerap menayangkan video, poster dan infografik berkenaan COVID-19 dan cara pencegahan. Ini adalah langkah yang baik untuk mendidik masyarakat. Tetapi apa yang dikesalkan ialah, pematuhan SOP yang dilihat di televisyen hanya berlaku semasa sidang akhbar KKM, tetapi tidak berlaku semasa tayangan rancangan lain seperti bual bicara, forum dan rancangan hiburan. Semasa program forum contohnya, 3 hingga orang panel dan moderator duduk di atas kerusi yang berhampiran (kurang 1 meter), tidak memakai pelitup muka dan bercakap tanpa henti.
Begitu juga dengan rancangan-rancangan hiburan yang menampilkan beberapa orang pengacara dan penyanyi yang berkongsi pentas, bercakap, menyanyi dan ketawa tanpa mengekalkan jarak selamat. Semua orang sedia maklum bahawa, perkara-perkara yang disebutkan diatas meningkatkan risiko penyebaran COVID-19. Tetapi kenapa ianya disiarkan ke seluruh negara, untuk ditonton oleh beribu-ribu orang. Kami khuatir kerana amalan sebegini menyampaikan mesej yang salah kepada penonton. Adakah stesen televisyen kebal kepada COVID-19?
Ada kalanya, kita lihat pemimpin-pemimpin yang berjumpa dengan masyarakat, sama ada memberikan sumbangan ataupun mengadakan lawatan ihsan disiarkan di media massa termasuk di laman berita milik akhbar-akhbar terkenal. Ada di antara gambar ataupun klip video yang disiarkan menunjukkan mereka tidak memakai pelitup muka dengan sempurna selain tidak mengekalkan jarak fizikal lebih daripada 1 meter. Seharusnya, gambar dan klip begini tidak harus disiarkan kerana tidak mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.
Kami menyarankan supaya tindakan tegas diambil ke atas media massa terutamanya media elektronik yang tidak mematuhi SOP. Garis panduan yang jelas perlu disediakan dan perlu dipatuhi. Sememangnya memakai pelitup muka semasa bercakap atau menyanyi adalah sesuatu yang dirasakan janggal. Jika tidak memakai pelitup muka, pastikan jarak antara pengacara atau panel forum lebih daripada satu meter. Mungkin ini akan menyebabkan masalah contohnya terkeluar ‘frame’ dan sebagainya. Ini bukan alasan untuk tidak mematuhi SOP. Media elektronik perlu mencari jalan penyelesaian dan menjadi lebih kreatif dan inovatif.
Kesimpulannya, SOP yang sedia ada wajar diikuti oleh semua termasuk pihak media dan pemimpin-pemimpin masyarakat. Pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal memang telah dibuktikan daripada kajian sains boleh mencegah penularan wabak COVID-19. Selain daripada memberikan contoh yang baik kepada penonton dan anggota masyarakat, penularan wabak COVID-19 juga dapat dihentikan.
Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed (Pakar Mikrobiologi Klinikal) &
Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani ( Pakar Kesihatan Awam)
Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia