Home Politik Ahli Parlimen perlu diberi kebebasan sokong, tolak Belanjawan 2021

Ahli Parlimen perlu diberi kebebasan sokong, tolak Belanjawan 2021

Mohamed Khaled Nordin.

KUALA LUMPUR – Setiap Ahli Parlimen perlu diberi kebebasan dan ruang untuk membuat pilihan dan mengundi secara peribadi berdasar ‘conscience’ dalam menyokong, berkecuali atau menolak Belanjawan 2021.

Ini kerana, rakyat mengharapkan Ahli-Ahli Parlimen untuk memberikan yang terbaik, justeru idea yang baik akan sentiasa disokong sekalipun oleh pihak lawan.

Dan, idea yang dangkal akan ditolak, sekalipun oleh rakan-rakan dari parti sendiri, tegas Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Naib Presiden UMNO itu berkata, Parlimen Malaysia adalah benteng demokrasi yang terpenting, maka apa juga yang diputuskan oleh Ahli Parlimen Malaysia, mestilah mengutamakan nilai dan kepentingan pemilih dan rakyat.

”Jika seseorang Ahli Parlimen itu yakin bahawa peruntukan dan inisiatif di dalam Belanjawan 2021 memerlukan pembaikan atau tidak menepati kepentingan golongan sasaran, mereka wajar untuk menyatakan pendirian tersebut.

”Sekalipun pendirian tersebut berbeza dengan pendirian parti atau pendirian yang bersifat en bloc,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Khaled berkata, berbeza pendirian bukan pengkhianatan tetapi menurut tanpa akal adalah sebesar-besar khianat.

Rakyat tidak memilih seorang Ahli Parlimen untuk menjadi wakil yang terpisah dari denyut nadi pemilih mereka.

Oleh itu, menurut beliau, setiap Ahli Parlimen mesti mengambil keputusan yang dirasakan terbaik demi kemaslahatan negara, bukan kepentingan parti semata-mata, apalagi dalam keadaan di mana UMNO bukan sebahagian dari Perikatan Nasional (PN).

”Kerajaan PN dibentuk atas dasar sokongan Ahli Parlimen dan bukannya kerjasama partisan yang formal, teratur dan kemas, maka kenapa perlunya desakan untuk mengundi en bloc?,” soalnya.

Hujah beliau, Malaysia harus mula bergerak ke arah penyuburan amalan politik bipartisan, yang berfokus kepada pembentukan konsensus nasional rentas ideologi dan fahaman politik demi penyelesaian kemaslahatan berkepentingan nasional.

Sokongan bersifat en bloc ke atas sesuatu usul Parlimen pula tidak semestinya mencerminkan kekuatan parti.

Sebaliknya, parti akan dianggap tidak mempunyai kepelbagaian idea, kepelbagaian pendirian dan kebebasan untuk menyatakan pendirian yang demokratik.

Tambahnya, Belanjawan 2021 mempunyai banyak kebaikan tetapi ia juga memerlukan penyelarasan semula untuk menjadikan ia lebih baik.

”Insya Allah jika ia dilakukan, Ahli Parlimen akan menggunakan nurani baik mereka untuk mengundi dengan demokratik demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette