KUALA LUMPUR – Pelan pembangunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan usaha melahirkan graduan berhadapan norma baharu akibat pandemik COVID-19, dilihat akan terencat jika peruntukan Belanjawan 2021 kepada institusi tersebut dipotong.
Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi UiTM, Prof Datuk Dr Ismail Sualman berkata, selaku institusi terbesar di Malaysia dengan 35 kampus dan lebih 100,000 pelajar di seluruh negara, institusi tersebut memerlukan peruntukan besar untuk mengimbangi kuota pelajar dan keperluan kampus.
“Apabila wujudnya pengurangan tertentu, ia akan membantutkan usaha kita memperkasakan UiTM. Kita kini mengejar sasaran 500 terbaik dunia ketika ini. Jika peruntukan dipotong sana sini, kita bimbang ia akan merencatkan perancangan kita.
“Sebagai gudang bumiputera yang paling ramai dan tersohor di Asia, banyak rancangan yang perlu dilakukan untuk meningkatkan UiTM setanding universiti terkemuka dunia lain, yang memerlukan pembangunan infrastrukutur dan infostruktur (komunikasi dan teknologi) digital,” katanya kepada Bernama.
UiTM pada Belanjawan 2021 dicadangkan untuk menerima peruntukan sebanyak RM1.1732 bilion, pemotongan sebanyak RM129 juta berbanding sebanyak RM1.861 bilion pada Belanjawan 2020.
Tegas Ismail, UiTM juga masih memerlukan usaha meningkatkan penyelidikan dan pembangunan kepada silabus pembelajaran baharu, bersesuaian dengan pandemik COVID-19, agar graduan mendapat pekerjaan dan bukannya menganggur.
Senada dengannya, Setiausaha Alumni Komunikasi Massa (Masscom), Haniff Ghazali yang menyifatkan pandemik telah mengubah segala-galanya termasuk rombakan silabus, sebagai persediaaan kepada siswa-siswi ke arah alam pekerjaan norma baharu.
“Dalam era COVID-19, akan ada karier yang terhapus dan muncul selepas hujan. Jadi UiTM perlu membangunkan sahsiah dan jati diri jika ingin meletakkan graduan universiti sebagai penyumbang kepada ekonomi dan kehidupan.
“Tiada guna kalau ada wisma atau pejabat baharu, tetapi graduan masih lagi bertaraf jaguh kampung dan bukannya global.
“Kita akan berdosa jika mengulangi perkara yang sama apabila UiTM menyumbang kepada lambakan pengganggur di pasaran negara. Kerana itu pembangunan pendidikan, jati diri, kerohanian dan sahsiah itu penting, ia bukannya fizikal semata-mata,” jelasnya.
Sementara itu Presiden Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Teknologi MARA (UTiMAS), Prof Madya Abd Rahim Awang berkata, pengurangan dana akan memberi kesan kepada proses pelajaran dan pengajaran, selain menjejaskan peluang penyelidikan serta kerjasama dengan masyarakat luar.
Beliau percaya itu antara perkara yang perlu diberi perhatian, kerana ia akan membantutkan perkembangan universiti yang memerlukan peruntukan kewangan besar, selain usaha sama serta sokongan dari dana sampingan yang lain.
Pengurangan peruntukan kepada UiTM ini juga turut dibangkitkan bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sewaktu berbahas di Parlimen baru-baru ini, yang antara lain percaya ia akan merencatkan pembangunan universiti itu, selain memberi kesan kepada pelajarnya. – Bernama
Semak lah dahulu bajet area mana yg dikurangkan. Zaman covid ni student dok rumah ramai. Belajar online. Bajet utk makanan cafe yg student dok dapat tu boleh jadi tak perlu sebanyak dahulu.
Boleh jd juga bajet penyelidikan yang dikurangkan tu. Zaman covid bajet nak sama mcm zaman belum covid, sedangkan operasi uitm berkurangan. Fair kah?