KUALA LUMPUR – Garis Panduan Baharu Lesen Minuman Keras (LMK) di Wilayah Persekutuan yang berkuat kuasa pada 1 Oktober tahun depan tiada kena mengena dengan soal agama mahupun kaum.
Sebaliknya, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata, pengenalan garis panduan itu semata-mata untuk mengawal penjualan minuman keras secara terbuka.
“Ini bukan isu agama atau kaum…tapi soal mengawal kesan buruk daripada mabuk dan perkara yang mungkin terbit daripada kelonggaran kawalan terhadap minuman arak.
“Kami terima banyak respon misalnya penjualan todi haram di kedai runcit dan rangkaian pasar mini boleh beli arak dan ada juga arak dalam saiz paket kecil di mana penjualannya tidak terkawal.
“Ada yang membeli (arak) di bawah umur, penuntut sekolah kerana ia terdapat merata-rata tempat,” katanya pada sidang media di Menara DBKL 3, hari ini.
Semalam, Pengerusi Lembaga Eksais DBKL, Lau Beng Wei berkata, penjualan dan pembelian arak beralkohol tinggi (liquor) masih boleh dilakukan di premis khusus di bawah kategori LMK Rumah Awam Kelas 1 seperti di pub, bar, lounge, dan restoran.
Menurutnya, LMK bukan bertujuan untuk menyekat hak pembelian liquor tetapi sekadar untuk mengawal kemudahdapatan penjualan dan pengambilan minuman beralkohol.
Sebaliknya, ia juga boleh dibeli dan dijual di bawah kategori LMK Runcit seperti di pasar raya dan pasar raya besar yang berada di kompleks perdagangan.
Menurut Annuar, garis panduan seumpama itu bukan perkara baharu bahkan ia telah diamalkan di seluruh dunia termasuk di negara-negara Eropah.
“Kita telah buat tinjauan apa yang telah dilakukan di negara-negara lain, kita mengkaji sistem yang dipakai di Singapura.
“Kita juga tengok peraturan yang dipakai di negara-negara lain termasuk di Eropah di mana pembelian liquor memang sangat dikawal dari segi waktu dan lesen tempat yang boleh jual.
“Jadi lebih baik kita kawal dan saya fikir belilah arak di tempat yang dilesenkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette