Home Nasional Kelonggaran rentas negeri rancakkan semula pelancongan negara

Kelonggaran rentas negeri rancakkan semula pelancongan negara

Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) memeriksa pengguna jalan raya yang melalui sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 07 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Majlis Pelancongan Malaysia menyambut baik langkah kerajaan memberi kelonggaran untuk perjalanan rentas negeri dan menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi beberapa negeri.

Kebenaran untuk aktiviti pelancongan secara gelembung perjalanan (travel bubble) juga dilihat sebagai satu usaha murni dalam membantu menghidupkan semula sektor pelancongan negara yang terjejas teruk akibat pendemik Covid-19.

Industri pelancongan merupakan antara industri yang paling awal terjejas yang melibatkan hampir 4 juta orang di negara ini dan dianggarkan mengalami kerugian sekitar RM45 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini akibat pandemik ini.

Presiden Majlis Pelancongan Malaysia, Uzaidi Udanis berkata, bantuan kepada sektor pelancongan perlu disalurkan seberapa segera bagi memastikan sektor pelancongan terus berdaya saing.

”Saya berharap pihak kerajaan dapat menyalurkan bantuan segera khususnya peruntukan menerusi Pelan Pemulihan Pelancongan yang sedia ada untuk tahun ini bagi membantu sektor pelancongan sementara menanti peruntukan sebanyak RM200 juta menerusi belanjawan 2021,” katanya.

Menurutnya, Majlis Pelancongan Malaysia yakin menerusi pelan ini dapat menggalakkan lagi perbelanjaan domestik dan dengan sendirinya meningkatkan ekonomi setempat.

Pelan tersebut merangkumi baucar penginapan, diskaun destinasi pelancongan, diskaun percutian keluarga, penyemarakan seni budaya, kempen ‘Meet in Malaysia’, diskaun pakej petugas barisan hadapan, potongan diskaun beli-belah dan diskaun pengangkutan.

Uzaidi berkata, bagi menyahut seruan kerajaan dalam melaksanakan pelan pemulihan pelancongan ini, pihaknya sedia berganding bahu dengan Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya dalam memastikan semua penggiat industri pelancongan yang terjejas sama-sama mendapat manfaat daripada pelan tersebut.

Malah, agensi-agensi pelancongan juga diseru agar dapat mengambil peluang ini untuk memasarkan pakej-pakej pelancongan domestik secara kreatif dan berupaya menarik minat masyarakat untuk melancong di dalam negara, sekali gus menjayakan kempen Cuti-cuti Malaysia.

Dalam masa yang sama Majlis Pelancongan Malaysia berharap satu mekanisma atau garis panduan aktiviti pelancongan dapat diumumkan pada kadar segera bagi memastikan tidak timbul kekeliruan dalam kalangan masyarakat untuk melakukan aktiviti pelancongan dalam situasi sekarang.

Masyarakat juga harus sentiasa diingatkan untuk mempraktikkan SOP ketat bagi memastikan pencegahan penularan jangkitan dan mereka akan berasa selamat apabila berkunjung ke negara ini.

Untuk tujuan itu Majlis Pelancongan Malaysia juga bekerjasama dengan Tourism Productivity Nexus dan Perbadanan Produktiviti Malaysia dalam mengeluarkan SOP Adopt & Adhere untuk penggiat industri pelancongan. – MalaysiaGazette