Home Nasional PKP sejak Mac hanya untuk kawal Covid-19

PKP sejak Mac hanya untuk kawal Covid-19

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases
Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA- Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu sehingga hari ini hanya bertujuan menghentikan penularan serta mengurangkan jangkitan Covid-19 di dalam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, PKP dikuatkuasakan bukan untuk menamatkan pandemik tersebut yang kini mengancam komuniti di seluruh dunia.

Sehingga hari ini, sejumlah 56.6 juta orang dijangkiti dengan Covid-19 dan merekodkan lebih 1.3 juta kematian.

Katanya, sepanjang lapan bulan yang lalu sejak PKP dilaksanakanĀ  untuk mengawal pergerakan rakyat, Malaysia berjaya mengawal penularan pandemik maut itu sehingga menjadikan kadar kebolehjangkitan atau R-naught pada tahap kurang daripada 1.0.

“Tetapi sejak September hingga Oktober, dua bulan ini telah mencabar petugas kesihatan dan rakyat, apabila kes telah meningkat secara mendadak sehingga lebih 50,000 kes direkodkan ketika ini.

“Kita juga sedia maklum sepanjang 10 bulan berada di lapangan, petugas kesihatan di barisan hadapan dan juga rakyat secara umum sudah lesu dan letih dari segi mental dan fizikal, termasuk dengan prosedur operasi standard (SOP), namun Covid-19 tidak pernah lesu dan penat sebaliknya lebih agresif hidup dalam komuniti.

“Ia akan menjangkiti sekiranya kita ingkar dan tidak patuhi SOP,” katanya dalam Taklimat Khas Isu Semasa Covid-19 bersama media di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini.

Tambah beliau, selepas PKP, siri seterusnya iaitu PKP Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan selepas PKP Pemulihan di majoriti negeri bermula Oktober lalu menunjukkan impak dan keberkesanan apabila dapat menurunkan kadar kebolehjangkitannya.

Dr. Noor Hisham menegaskan meskipun kes positif harian pada hari ini adalah sebanyak 1,041, ia masih lagi berada dalam R-naught 0.9 hingga 1.0, yang mana unjuran kadar kebolehjangkitan KKM adalah pada 1.0 iaitu sebanyak 1,388 manakala kadar kebolehjangkitan pada 1.5 pula ditetapkan sebanyak 3,277.

Bagaimanapun jelas beliau, kadar Rnaught itu masih perlu dilandaikan sekurang-kurangnya sehingga 0.5 atau lebih baik jika ia boleh menjadi 0.3 seperti yang direkodkan sebelum gelombang ketiga ini.

Ditanya kenapa tidak melaksanakan PKP semula di Selangor yang menyaksikan kenaikan mendadak kes Covid-19 akibat pergerakan tinggi rakyat di kawasan itu, katanya, pihaknya terpaksa memikirkan faktor ekonomi kerana Selangor menyumbang 45 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar negara.

“Kita sebenarnya memang mencadangkan PKP di Selangor pada 14 Oktober lalu kepada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara.

Bagaimanapun tindakan itu tidak dapat dilaksanakan dengan mengambil kira kerugian kepada ekonomi lebih RM2 bilion hingga RM4 bilion sehari kepada negara.

“Namun kita menggantikannya dengan PKPB setelah melihat keberkesanannya di Sabah selepas Pilihan Raya Negeri pada 26 September lalu.

“Untuk PKPB kita dapat mengimbangkan sektor kesihatan dan ekonomi di Selangor .

“Tetapi jika rakyat dapat mematuhi SOP 100 peratus dan duduk di rumah, elak pergerakan tidak penting, sudah pasti kita tidak memerlukan sekatan seperti PKP atau PKPB untuk mengurangkan penularan Covid-19,” tegasnya sambil merayu kerjasama padu rakyat dalam perkara itu.-MalaysiaGazette