Home Dunia Itali lancar kempen vaksin Covid-19 besar-besaran

Itali lancar kempen vaksin Covid-19 besar-besaran

Kerja-kerja pembersihan dan nyah kuman kerap dilakukan di kawasan tumpuan ramai. foto Agensi

ROME – Itali antara negara paling teruk dilanda pandemik Covid-19 dengan hampir 50,000 kematian merancang melancarkan kempen vaksin virus itu besar-besaran pada Januari ini.

Menteri Kesihatan Itali, Roberto Speranza pada Sabtu berkata, kerajaan negara itu menjangkakan menerima dos vaksin pertama menjelang akhir Januari ini.

“Kempen ini memerlukan satu gerakan besar-besaran dan memerlukan sumber tenaga yang ramai untuk menjayakannya,” katanya dalam pertemuan dengan ahli farmasi.

Kerajaan Itali sedang berjuang memerangi penularan wabak di negara itu yang setakat ini sudah mencatat 1.38 juta kes sejak dikesan awal tahun ini.

Terdapat usaha global untuk mencari rawatan dan vaksin dan pada awal bulan ini syarikat gergasi farmasi AS, Pfizer dan rakannya dari Jerman, BioNTech melaporkan vaksin keluarannya sudah dibuktikan lebih 90 peratus berkesan.

“Penghasilan vaksin adalah antara kemajuan terbesar dalam sejarah kemanusiaan,” kata Speranza, mempertahankan penggunaan vaksin walaupun terdapat beberapa pihak di negara itu yang menentang kempen vaksin sebelum ini.

Sementara itu, negara anggota Kumpulan 20 (G20) memberi penekanan mengenai pentingnya keperluan memperoleh vaksin di peringkat global, selain usaha memerangi pandemik dan kemelesetan ekonomi paling teruk dekad ini.

Menerusi sidang kemuncak yang dianjurkan secara maya oleh Arab Saudi, pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilihat beberapa kali muncul mengetengahkan pendirian berhubung pandemik berkenaan.

Perbincangan dalam kalangan pemimpin menerusi perhimpunan selama dua hari, secara maya itu semakin ‘hangat’ memandangkan usaha pengagihan vaksin COVID-19 di peringkat antarabangsa bakal dilaksanakan selepas ‘penawar’ itu menempa kejayaan ujian percubaan dan wujud gesaan supaya negara anggota G20 menampung kekurangan dana menjangkau AS$4.5 bilion (RM18.42 bilion).

Walaupun optimis dengan perkembangan pembangunan vaksin, Pengerusi G20 Raja Salman Abdulaziz Al Saud, berkata kerjasama wajar dijalin antara negara anggota kumpulan itu bagi memastikan vaksin itu mampu diperoleh pada harga berpatutan dan diagihkan secara saksama kepada masyarakat global.

“Kita mempunyai tanggungjawab bersama menangani cabaran berkenaan dan memberi harapan serta jaminan kepada rakyat kita bagi mencari penyelesaian menghadapi krisis pandemik ini,” katanya dalam ucaptama pembukaan sidang kemuncak itu.

Bersandarkan kenyataan Rumah Putih, Trump dilaporkan berkata, Amerika Syarikat merintis usaha untuk mempercepatkan pembangunan vaksin supaya ia mampu menyelamatkan jutaan nyawa manusia.

Negara anggota G20 menyumbang lebih AS$21 bilion (RM85.94 bilion) untuk memerangi pandemik kesihatan yang sudah menjangkiti 56 juta orang di seluruh dunia dan merekodkan angka kematian menjangkau 1.3 juta.

Pada masa sama, G20 ‘menyuntik’ AS$11 trilion (RM45.02 trilion) untuk melindungi ekonomi dunia yang terkesan dengan penularan Covid-19.

Bagaimanapun, pemimpin negara anggota G20 berdepan tekanan untuk melaksanakan penangguhan bayaran hutang dalam kalangan negara membangun.

Menteri Kewangan Arab Saudi, Mohammed Al Jadaan, minggu lalu mengisytiharkan ‘kerangka bersama’ mengenai lanjutan penstrukturan semula hutang untuk negara yang terkesan dengan Covid-19. – MalaysiaGazette