Home Politik UMNO lebih banyak kerusi, perlu jawatan lebih kanan – Ahmad Maslan

UMNO lebih banyak kerusi, perlu jawatan lebih kanan – Ahmad Maslan

Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – UMNO merasakan dalam perkongsian kuasa, parti yang lebih banyak kerusi perlu diberikan jawatan yang lebih kanan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak sepatutnya lupa realiti itu di mana UMNO penyumbang kerusi terbesar dalam perbentukan kerajaan sekarang.

“Politik adalah mainan angka dan angka ini tidak boleh bohong dan angka ini tidak ada perasaan dan bercakap benar tapi kadang-kadang, kita terlupa di mana duduk kita?

“Saya harap PPBM (Bersatu) tidak lupa bahawa mereka dikukuhkan dengan 10+15+6 (10 kerusi kem Azmin Ali, 15 kerusi bekas Ahli Parlimen UMNO, dan lima kerusi Bersatu) dan saya harap mereka tidak lupa,” jelas Ahmad Maslan dalam program temubual khas Owh!MG di MalaysiaGazette.

Justeru itu, katanya, perlu ada ahli dalam parti Bersatu mengingatkan diri mereka dan kepimpinan bahawa parti yang lebih ‘dominan’ perlu mendapat jawatan yang lebih.

“Bersatu yang asal sekarang ini tinggal enam kerusi tapi mereka jadi PM, yang enam kerusi itu. BN 79 kerusi yang asal jauh beza. Timbalan Perdana Menteri pun tidak dapat.

“PPBM yang enam kerusi jadi PM dan kemudian ditambah dengan 10 kerusi yang biasa oleh Azmin Ali, jadi 16 dan 15 MP UMNO yang berpindah maka jadikan PPBM 31 kerusi. Itu fakta yang kita hafal,” katanya lagi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Februari lalu berjaya membentuk kerajaan Perikatan Nasional apabila BN (UMNO dan komponen), GPS, Pas dan 10 ahli Parlimen daripada kem Datuk Seri Mohamad Azmin Ali menyokong beliau.

Untuk rekod, UMNO hanya mempunyai seorang menteri kanan di dalam Kabinet Muhyiddin iaitu Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memegang portfolio Menteri Pertahanan.

Ditanya mengenai pilihan yang ada pada UMNO pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) akan datang, Ahmad Maslan berkata, parti itu tidak mempunyai pilihan lain selain untuk mengadakan kerjasama dengan parti-parti lain.

Katanya, agak mustahil untuk UMNO untuk bergerak sendiri kerana perlu ada parti-parti lain di Sabah dan Sarawak bagi memastikan parti itu kembali berkuasa kelak.

“Itu sebab UMNO bersama dengan rakan-rakan dalam BN tapi oleh kerana BN makin kecil, kerana keluarnya beberapa parti di Sabah, dan keluarkan GPS oleh itu BN ingin berdiri sendiri itu agak sukar, ini kita cerita fakta.

“UMNO BN perlu menang seberapa banyak kerusi dan kita kena bergabung dengan parti lain untuk menubuhkan kerajaan.

“Jika BN mempunyai jumlah parti termasuk Sabah dan Sarawak, saya kira kita mungkin boleh berdikari tetapi dari segi realiti politik, oleh kerana pertukaran komposisi dalam parti ini BN masih perlu mengharapkan parti-parti daripada Sabah dan Sarawak untuk menyokong,” katanya.

Jelas beliau, agak mustahil untuk UMNO BN memenangi semua 163 kerusi Parlimen di Semenanjung dan masih memerlukan beberapa kerusi di Sabah dan Sarawak.

Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen dan 25 kerusi di Sabah.

Justeru itu katanya, langkah untuk bergerak sendiri tanpa penglibatan mana-mana parti lain adalah tidak tepat buat UMNO BN.

“Jadi 165 itu tentu sukar untuk kita menang semua jadi kita perlukan Sabah dan Sarawak, itu hakikat politik.

“Kita tidak boleh mendabik dada, dan stand along, tidak boleh. Kita mesti ada gabungan parti baru boleh memerintah Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Dinosaur pun ingat dia paling besar kat DUNIA… Ujung2 pupus jugak. Kalau rasuah dan budaya sombong serta bongkak diteruskan… Ko pun pupus jugak. Dulu kami sekeluarga penyokong tegar parti… Letak pokok padi jadi calun pun kami tetap undi….

Comments are closed.