Home Nasional DBKL kena perjelas langkah membenarkan penjualan bir

DBKL kena perjelas langkah membenarkan penjualan bir

Aminuddin Yahaya

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu memberi penjelasan berhubung langkah membenarkan penjualan ‘bir’ di kedai runcit dan kedai serbaneka.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya berkata, langkah itu perlu dibuat ekoran pengumuman oleh Menteri Wilayah Persekutuan mengenai kebenaran penjualan bir boleh menyebabkan berlakunya kekeliruan sekaligus mencalar integriti dan kredibiliti pihak berkuasa berkenaan.

“Pengharaman penjualan segala jenis arak di tempat umum seperti kedai runcit dan serbaneka adalah selari dengan hukum-hukum syarak seperti yang terkandung dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, Akta 559, Seksyen 19.

“Maka, adalah sangat berpatutan dan mempunyai asas yang kuat untuk DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan bertindak mengikut akta yang ada ini terutamanya dalam menetapkan apa-apa polisi termasuk dalam konteks penjualan arak ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Aminuddin berkata, pada asalnya Pembela gembira dengan pengumuman pengharaman arak di kedai-kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai-kedai ubat-ubatan Cina sebagaimana yang ditegaskan oleh DBKL berdasarkan kenyataannya mengenai penambahbaikan Garis Panduan Permohonan Lesen Minuman Keras dan seperti yang dilaporkan juga oleh media pada 15 November lepas.

Bagaimanapun katanya, merujuk laporan media tempatan berhubung kenyataan Tan Sri Annuar Musa bahawa bir tidak tersenarai sebagai minuman keras yang memabukkan dan masih dibenarkan dijual di kedai runcit serta serbaneka, ia adalah sesuatu yang mengejutkan.

Malah katanya, perkara itu telah menimbulkan kekekecewaan dan kekesalan dalam kalangan rakyat terutamanya penduduk Kuala Lumpur yang pada asalnya gembira dengan pengumuman yang dibuat oleh DBKL itu.

“Pembela pada umumnya menyokong segala usaha ke arah negara bebas arak untuk kesejahteraan seluruh masyarakat Malaysia selari dengan tuntutan-tuntutan syarak terutamanya dalam konteks Malaysia sebagai negara Islam.

“Kami mengajak NGO-NGO, parti-parti politik dan seluruh rakyat Malaysia menyokong inisiatif ini supaya usaha pengharaman penjualan arak di tempat-tempat awam dapat direalisasikan sekaligus, menuju sebuah negara yang sejahtera, sihat dan selamat tanpa arak,” tambahnya. – MalaysiaGazette