KUALA LUMPUR – Hampir 304,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang layak menerima Geran Kita Prihatin 2.0 akan menerima wang masing-masing mulai 30 November ini.
Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, jumlah tersebut adalah lebih tinggi berbanding sasaran asal iaitu 200,000 usahawan mikro sahaja.
Dengan itu, kerajaan menganggarkan peruntukan GKP 2.0 adalah sebanyak RM912 juta, meningkat berbanding peruntukan asal sebanyak RM600 juta.
“Di bawah pakej rangsangan ekonomi Kita Prihatin, kerajaan telah membuka semula permohonan untuk Geran Khas Prihatin (GKP 2.0) yang merupakan bantuan kewangan secara one-offberjumlah RM3,000 kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang berkelayakan dan tidak pernah menerima GKP sebelum ini.
“Tujuan GKP 2.0 adalah bagi meringankan beban kewangan perniagaan yang dihadapi ekoran penularan wabak COVID-19 dan bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran dan perkhidmatan demi kelangsungan PKS mikro,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan semasa permohonan GKP 2.0 mulai 30 November 2020 dan semakan status kelulusan boleh dibuat mulai 27 November 2020 di Portal GKP, https://qkp.hasil.Nov.my.
Ujar Tengku Zafrul, jumlah keseluruhan penerima GKP 1.0 dan GKP 2.0 adalah hampir 849,000 dengan jumlah bantuan kewangan sebanyak RM2.55 bilion.- MalaysiaGazette