KOTA BHARU – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) menerusi Bahagian Undang-Undang Keluarga memutuskan untuk tidak membenarkan penganjuran majlis perkahwinan, pertunangan dan resepsi di negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Timbalan Pengarah (Pengurusan) JAHEAIK Tengku Kamaruddin Tengku Alias berkata, arahan itu berkuat kuasa mulai semalam hingga PKPB ditamatkan.
Bagaimanapun, majlis akad nikah masih dibenarkan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan syarat-syarat ditetapkan.
“Selain itu, kursus praperkahwinan turut ditangguhkan dan perkhidmatan khidmat nasihat atau rundingcara hanya dijalankan secara dalam talian,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Tengku Kamaruddin berkata sebarang arahan atau keperluan adalah tertakluk kepada ketetapan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).