Home Uncategorized Sasaran kutipan cukai langsung RM143.9 bilion adalah munasabah – LHDN

Sasaran kutipan cukai langsung RM143.9 bilion adalah munasabah – LHDN

Sabin Samitah

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) percaya sasaran kutipan cukai langsung RM143.9 bilion bagi tahun depan yang ditetapkan oleh kerajaan adalah munasabah, didorong oleh pemulihan ekonomi negara.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 6.5 peratus dan 7.5 peratus tahun depan berserta langkah-langkah proaktif kerajaan menerusi pelbagai pakej rangsangan dan pertumbuhan di peringkat global, juga dijangka dapat membantu agensi itu merealisasikan sasaran berkenaan.

“Sebanyak RM143.9 bilion atau 40.9 peratus daripada kutipan cukai adalah merangkumi cukai langsung iaitu 55.7 peratus daripada jumlah hasil kerajaan bagi 2021. Jumlah tersebut adalah munasabah dengan mengambil kira unjuran pertumbuhan ekonomi pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada siri web TaxMax Deloitte Tax Academy bertajuk ‘Bicara Bersama CEO LHDN – Pencukaian Bagi Pembangunan Negara dan Pertumbuhan Mampan,’ di sini, hari ini.

Sesi itu adalah sebahagian daripada webinar selama tiga hari.

Dalam pada itu, menjawab pertanyaan berkaitan isu cukai korporat, Sabin berkata adalah mustahil untuk menurunkan cukai berkenaan akibat situasi perniagaan susulan pandemik COVID-19.

 “Kerajaan hanya boleh mengurangkan kadar cukai pendapatan korporat sekiranya ia bertindak memperkenalkan cukai baharu.

“Adalah penting untuk menyatakan di sini bahawa bahawa pengurangan walau satu peratus pun cukai korporat ini boleh menyebabkan negara kerugian hasil yang besar iaitu melebihi RM2.6 bilion,” katanya.

Sabin juga mengingatkan, sebarang langkah mengurangkan cukai pendapatan korporat itu haruslah digantikan dengan cukai-cukai lain seperti cukai keuntungan modal.

“Langkah mengurangkan cukai pendapatan korporat itu juga bukan satu-satunya faktor untuk membolehkan Malaysia mempunyai kelebihan kompetitif berbanding negara-negara jiran lainnya.

“Iklim pelaburan yang kondusif dan insentif berkaitan pelabur itu juga akan menarik pelaburan langsung asing,” katanya. – MalaysiaGazette