KUALA LUMPUR – Seorang pekerja Alam Flora Sdn. Bhd., Vijaya Kumaran A/L T. Veerasamy, yang terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika pulang bekerja dari Bukit Bintang ke Puchong pada 12 April lalu menerima faedah pemulihan yang ditanggung sepenuhnya oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada hari ini.
Vijaya, 51, yang mengalami masalah pendarahan di kepala masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur selain terpaksa menjalani pembedahan implan tempurung kepala sebelah kiri yang menelan belanja sebanyak RM23,000.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, Perkeso menanggung sepenuhnya kos itu menerusi skim Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Perubatan dan Faedah Pemulihan menerusi Program Return To Work (RTW).
“Sejak kemalangan tersebut, keadaan pesakit dilaporkan semakin teruk di mana anggota badan sebelah kanannya kian lemah sehingga beliau terpaksa bergantung kepada isteri serta dua orang anak perempuan untuk bergerak.
“Vijaya kemudiannya terpaksa menjalani pembedahan, di mana isteri beliau tidak dapat menampung kos implan yang tinggi. Mengetahui perkara ini, PERKESO telah menawarkan bantuan pemulihan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saravanan turut menyerahkan faedah pemulihan berkenaan.
Terdahulu hasil semakan, Perkeso mendapati Vijaya, yang merupakan pekerja am di syarikat pengurusan sisa pepejal, Alam Flora Sdn. Bhd., mencarum menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
Caruman yang dibuat memenuhi syarat kelayakan di bawah Skim Bencana Pekerjaan dan membolehkan beliau menerima bantuan FHUS, Faedah Perubatan dan Faedah Pemulihan menerusi Program Return To Work (RTW).
FHUS adalah faedah tunai dalam Skim Bencana Pekerjaan di bawah Akta 4 yang dibayar kepada pekerja sepanjang tempoh cuti sakitnya yang disahkan oleh doktor.
Faedah Perubatan pula menyediakan rawatan perubatan secara percuma kepada Orang Berinsurans (OB) yang mesti diperolehi dari hospital Kerajaan, termasuklah rawatan pakar sekiranya perlu.
Sementara itu, Program Pengurusan Hilang Upaya, RTW adalah satu program pemulihan yang komprehensif dan berasaskan kaedah pelbagai disiplin (multidisciplinary approach) supaya bantuan pemulihan awal dapat diberikan dengan objektif membantu pencarum yang cedera atau menghidapi penyakit untuk dipulihkan dan dapat kembali bekerja secepat mungkin.-MalaysiaGazette