KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menghargai sumbangan Tan Sri Abu Kassim Mohamed dalam usaha memerangi rasuah dan memastikan integriti tadbir urus negara berada pada tahap tertinggi.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Abu Kassim yang juga Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) merupakan seorang yang sangat proaktif.
Sebelum dilantik untuk mengepalai GIACC, beliau merupakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dari Oktober 2010 hingga Julai 2016.
“Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang bertujuan menangani isu tadbir urus, integriti dan antirasuah secara menyeluruh merupakan antara inisiatif yang dibangunkan oleh GIACC di bawah kepimpinan beliau dan dilancarkan pada Januari 2019.
“Saya sangat menghargai segala usaha dan sumbangan Tan Sri Abu Kassim dalam usaha beliau memerangi rasuah dan memastikan integriti tadbir urus negara berada pada tahap yang tertinggi,” katanya.
Sebelum itu, Perdana Menteri semalam menerima kunjungan hormat Abu Kassim yang akan bersara wajib pda 5 Disember ini.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan. Saya doakan semoga Tan Sri sentiasa dirahmati Allah SWT dan dikurniakan kebahagiaan. Persaraan Tan Sri bukan mudah untuk dicari pengganti,” kata Muhyiddin.- MalaysiaGazette