KUALA LUMPUR – Kedah FC memutuskan untuk tidak menyambung kontrak salah seorang pemain paling lama berkhidmat dengan pasuka itu, Khairul Helmi Johari, bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.
Berita itu disahkan oleh pasukan menerusi satu pengumuman di laman media sosial rasmi kelab itu yang memaklumkan Khairul Helmi atau yang lebih mesra disapa Keon yang telah bersama Kedaf FC selama 14 tahun tiada dalam perancangan skuad kendalian Aidil Sharin itu bagi mengharungi musim 2021.
Khairul mula beraksi bersama Kedah bermula pada musim 2007 di samping seorang lagi pemain senior yang turut dilantik sebagai ketua pasukan bagi musim 2020, Baddrol Bakhtiar.
Bersama Kedah, Khairul berjaya memenangi semua kejuaraan yang ditawarkan dalam saingan Liga Malaysia yang mana beliau memenangi Liga Super (2006/2007, 2007/2008), Piala Malaysia (2007, 2008, 2016), Piala FA (2007,2008,2017,2019), Liga Perdana (2005/2006, 2015) dan Piala Sumbangsih (2017).
Sehingga kini, destinasi pemain berusia 32 tahun ini tidak dapat dipastikan lagi sama ada kekal beraksi dalam saingan Liga Super atau mencuba cabaran di Liga Perdana. – MalaysiaGazette