KUALA LUMPUR – Bapa pendakwah dan juga penyanyi, Da’i Syed iaitu Seif Jamalullail meluahkan isi hati di Facebook miliknya selepas anaknya membuat laporan polis kerana difitnah kes rogol.
Menerusi luahan itu, bapa pendakwah berkenaan memberitahu terlalu banyak mesej yang diperoleh serta menunggu respon daripadanya.
“Semua sudah maklum Dai Syed adalah anak saya. Hari ini bertalu-talu mesej masuk ke inbox saya berserta SS yang dah viral. Masing-masing menunggu balasan dan respon saya.
“Saya nyatakan di sini untuk tatapan semua yang bertanya. Segala didikan yang telah saya beri kepadanya sejak dari kecil adalah menurut yang agama sarankan dan tindakan untuk menegur serta nasihat kepadanya telah pun saya usahakan sebaiknya.
“Namun tiada upaya lagi bila semua message saya itu diabaikan sudah dua tahun tanpa reply sepatah pun,” tulisnya.
Semalam, telah tular Twitter seorang individu yang mendakwa tentang rakannya yang dikatakan telah dirogol pendakwah berkenaan.
Berikutan dakwaan berkenaan, Da’i Syed telah membuat satu laporan polis petang semalam.
Sementara itu, Seif Jamalullail menyerahkan segala urusan menegur kepada Allah untuk mengadilinya sekiranya benar dakwaan yang telah ditularkan serta memohon agar anaknya dikembalikan ke jalan yang benar dan diredai sebelum terlambat.
“Saya lebih rela dia diadili di dunia daripada dihadap di akhirat di hadapan Qadhi Rabbul Jalil. Sekarang saya hanya mampu beri nasihat kepada individu yang bermuamalah dengan dia supaya berhati-hatilah terutama pada wanita.
“Isu viral ni dah lama, hari ni makin jadi heboh pulak… kami dah letih nak hadap isu semacam ini, apa lagi adik-adiknya yang masih belajar, mereka tertekan dengan soalan-soalan sindiran dan ejekan dari teman-teman di sekolah.
“Bagi mereka-mereka yang pernah menghubungi untuk mengadu kepada saya (yang mengaku mangsa), pergilah lapor kepada pihak berkuasa untuk disiasat dan diambil tindakan sewajarnya,” ujarnya.
Menurut Seif Jamalullail, beliau memberi jaminan untuk tidak akan sama sekali mempertahankan atau menyebelahi anaknya sekiranya dia memang melakukan kesalahan tersebut.
“Sabda Nabi ‘Demi Allah, sungguh jika Fatimah binti Muhammad mencuri, aku sendiri yang akan memotong tangannya’ – Hadist. Peringatan terbuka kepada Da’i Syed: ‘Jika benar kamu berakhlak buruk seperti yang didakwa, janganlah kamu menggunakan agama sebagai topeng untuk menutup segala kebejatanmu kerana perbuatan itu lebih hina dari iblis.
“Tinggalkan dunia selebriti dan kembalilah ke jalan Allah dan jalan leluhurmu… Kami semua merinduimu Iqmal yang dahulu. Kami pihak keluarga hanya mampu berdoa supaya dijauhkan segala fitnah duniawi dan diberikan keberkatan dalam hidup dan mati,” jelasnya. – MalaysiaGazette