Home Ekonomi IHP Oktober turun 1.5%

IHP Oktober turun 1.5%

KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) menurun 1.5 peratus pada Oktober 2020 kepada 120.2 berbanding 122.0 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Penurunan IHP keseluruhan ini telah dipengaruhi oleh penurunan indeks pengangkutan (-10.2%), perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (-3.0%) dan pakaian & kasut (-0.4%) yang menyumbang 41.6 peratus daripada keseluruhan wajaran.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, daripada 552 item yang diliputi di dalam IHP, 337 item menunjukkan peningkatan pada Oktober 2020 berbanding Oktober 2019.

Sebaliknya, 150 item mencatatkan penurunan manakala 65 item tidak berubah.

Berdasarkan prestasi 552 item mengikut kategori barangan dan perkhidmatan, barang tidak tahan lama (296 item) adalah kategori paling banyak mengalami kenaikan harga iaitu 208 item, 73 item menurun dan 15 item tidak berubah berbanding kategori perkhidmatan, barang semi tahan lama dan barang tahan lama.

Walau bagaimanapun, makanan & minuman bukan alkohol meningkat 1.5 peratus kepada 135.3 berbanding 133.3 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Kumpulan ini menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP.

Selain itu, pelbagai barangan & perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 2.8 peratus dan diikuti Ppendidikan (0.7%) dan minuman alkohol & tembakau (0.5%).

Mohd Uzir menyatakan, IHP tanpa bahan api kekal berada pada kadar positif iaitu 0.1 peratus pada Oktober 2020 berbanding Oktober 2019.

IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali petrol tanpa plumbum RON95, petrol tanpa plumbum RON97 dan diesel.

Purata harga Petrol Tanpa Plumbum RON95 menunjukkan penurunan pada Oktober 2020 iaitu RM1.67 per liter berbanding RM2.08 pada Oktober 2019.

Di samping itu, purata harga RON97 menurun kepada RM1.97 per liter berbanding RM2.66 dan purata harga diesel menurun kepada RM1.72 per liter berbanding RM2.18 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Indeks teras meningkat 0.8 peratus pada Oktober 2020 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah kumpulan pelbagai barangan & perkhidmatan (2.8%), makan & minuman bukan alkohol (1.3%), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.9%) dan pendidikan (0.7%).

Indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal.

Sementara itu, menurutnya, IHP bagi tempoh Januari hingga Oktober 2020 menurun 1.0 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Penurunan ini dipengaruhi oleh pengangkutan (-10.0%), perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (-1.5%) dan pakaian & kasut (-0.8 %).

Walaupun perubahan IHP tahunan menurun, perubahan IHP bulanan meningkat 0.1 peratus berbanding September 2020.

Peningkatan ini telah disumbangkan oleh makanan & minuman bukan alkohol (0.1%), perkhidmatan rekreasi & kebudayaan (0.1%) dan kesihatan (0.1%).

Indeks bagi semua negeri menunjukkan penurunan antara -0.8 hingga -2.3 peratus bagi Oktober 2020 berbanding Oktober 2019.

Penurunan tertinggi dicatatkan oleh Melaka (-2.3%), Sabah & Wilayah Persekutuan Labuan (-2.3%) dan Kedah & Perlis (-2.3%). Ini diikuti oleh Sarawak (-2.1%), Johor (-2.1%) dan Negeri Sembilan (-2.0%).

Namun begitu, semua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan ajaya (2.4%), diikuti oleh Pahang (1.8%), Terengganu (1.7%), Perak (1.7%) dan Negeri Sembilan (1.6%). – MalaysiaGazette