Home Ekonomi IP September naik 8.6%

IP September naik 8.6%

Mohd Uzir Mahidin

KUALA LUMPUR – Prestasi Indeks Pelopor Malaysia lakar pemulihan walaupun dalam keadaan mencabar meningkat kepada 8.6 peratus untuk mencapai 109.5 mata pada September 2020 daripada 100.8 mata pada bulan yang sama tahun 2019.

IP digunakan untuk menjangkakan hala tuju ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Perubahan bulanan IP menunjukkan trend yang sama, meningkat pada 0.9 peratus (Ogos 2020: -0.5%), kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Import Benar Semi Konduktor terutamanya litar bersepadu elektronik adalah antara komponen yang mendorong pertumbuhan IP.

Sejajar dengan itu, bilangan syarikat baru didaftar terutamanya dalam subsektor perdagangan borong & runcit menyumbang secara signifikan kepada peningkatan.

Pada masa yang sama, kadar pertumbuhan IP (terlicin) kekal di atas trend yang menunjukkan bahawa Malaysia terus melakar pemulihan ekonomi walaupun dalam keadaan yang mencabar.

Tambahan pula, pengumuman Belanjawan 2021 yang menyasarkan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi akan memperkasa ekonomi kesan daripada pandemik.

Walau bagaimanapun, isyarat IP mungkin terjejas oleh peningkatan jumlah kes Covid-19 dan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hingga kini.

Mohd Uzir berkata, Indeks Serentak (IS) mencapai 113.1 mata pada bulan rujukan, menunjukkan trend pertumbuhan tahunan yang lebih baik dengan mencatatkan penurunan 1.0 peratus pada September 2020 berbanding negatif 2.3 peratus pada Ogos 2020.

IS yang mencerminkan keadaan ekonomi semasa terus meningkat dengan pertumbuhan bulanan 1.0 peratus pada September 2020 (Ogos 2020: 0.5%) dengan Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (0.3%) sebagai
pemacu utama.

Begitu juga, nilai jualan Perdagangan Borong & Runcit merekodkan RM110.8 bilion pada September 2020 dengan pertumbuhan 0.2 peratus tahun ke tahun.

Ini merupakan pertumbuhan positif pertama yang direkodkan selepas penularan wabak Covid-19, dipacu oleh Kenderaan Bermotor yang merekodkan 17.1 peratus.

Prestasi ekonomi semasa juga dicerminkan oleh peningkatan dalam nilai jualan Pembuatan pada September 2020 yang bertumbuh 3.7 peratus untuk mencatatkan RM121.2 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Peningkatan bagi nilai jualan adalah didorong oleh peningkatan dalam produk kelengkapan pengangkutan & pembuatan Lain (14.3%), produk makanan, minuman & tembakau (14.2%) dan produk peralatan elektrik & elektronik (7.2%). – MalaysiaGazette