JEMPOL – Kerajaan Malaysia digesa mempertimbangkan untuk memberi penghargaan kepada Koperal Baharuddin Ramli dan Koperal Norihan Tari, masing-masing terkorban dan tercedera dalam insiden tembakan di sempadan negara, awal pagi semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya turut mencadangkan kedua-dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) itu dianugerahkan Pingat Keberanian di atas keberanian mereka mempertahankan sempadan negara.
“Saya telah pun menyampaikan cadangan tersebut kepada Perdana Menteri supaya mendiang dan Koperal Norihan dipertimbangkan untuk diberikan penghargaan lebih tinggi dalam bentuk Pingat Keberanian.
“Saya telahpun berbincang dengan pengarah-pengarah tadi, kami bersetuju untuk menaikkan pangkat mendiang kepada Sarjan, juga Koperal Norihan yang cedera atas sifat-sifat keberanian luar biasa,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri istiadat pengkebumian secara terhormat, Koperal Baharuddin di Tanah Perkuburan Orang Asli Sungai Sampo, Air Hitam, di sini, tengah hari tadi.
Semalam, seorang anggota PGA terkorban manakala rakan sepasukannya cedera parah selepas terkena tembakan di sempadan Malaysia-Thailand, awal pagi Selasa.
Dalam kejadian pukul 3.10 pagi itu, mangsa Koperal Baharuddin sedang melakukan kawalan keselamatan Op Benteng bersama Koperal Norihan yang mengalami kecederaan parah.
Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, Perlis dengan mangsa yang cedera sedang dirawat dan dilaporkan kritikal.
Difahamkan berlaku insiden berbalas tembakan antara anggota PGA dengan dua kumpulan penyeludup ketika mendiang sedang menjalankan tugas risikan di tembok sempadan (TS9). – MalaysiaGazette