KUALA LUMPUR- Semua pekerja asing yang mencarum dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan bekerja di Selangor, Kuala Lumpur, Labuan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Sabah layak menjalani ujian saringan Covid-19 secara subsidi di bawah Program Saringan Prihatin (PSP) bermula 21 November lalu.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata, majikan perlu membuat bayaran kos saringan terlebih dahulu sebelum memohon subsidi PSP daripada Perkeso.
Katanya, subsidi sehingga RM60 bagi setiap ujian saringan akan dibayar oleh Perkeso selepas itu.
Bayaran hanya dibuat sekali sahaja untuk setiap pekerja.
“Ujian saringan yang menggunakan kaedah RTK Antigen ini, perlu dijalankan di klinik atau hospital yang berdaftar sebagai Klinik Panel Program Saringan Kesihatan PERKESO (HSP). Direktori klinik panel boleh dirujuk di Portal PSP (https://psp.perkeso.qov.my),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jumaat lepas, kerajaan melalui Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara memutuskan semua pekerja asing yang bekerja di Selangor, Kuala Lumpur, Labuan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Sabah wajib menjalani ujian saringan Covid-19.- MalaysiaGazette