KUALA LUMPUR – Esok akan menjadi hari yang penting buat mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) apabila barisan kepimpinan baharu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) akan dipilih.
USIM buat julung kalinya melaksanakan Pemilihan MPP bagi sesi 2020/2021 secara sepenuhnya melalui platform dalam talian (online) pada tahun ini.
Ini merupakan langkah terkini universiti dalam mengadaptasi norma baharu di kampus selain memanfaatkan perkembangan teknologi semasa untuk kemudahan warga kampus.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Profesor Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani, proses pemilihan MPP kali ini sememangnya satu sejarah kerana dilaksanakan sepenuhnya secara atas talian.
“Proses tersebut kita mulakan dengan penamaan calon pada 2 November lalu, diikuti dengan kempen maya oleh para calon dan kemuncaknya pembuangan undi pada Khamis, 26 November”.
“Bagi memastikan setiap proses ini berjalan dengan lancar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dan Jawatankuasa Khas Pemilihan MPP dengan kerjasama Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC) USIM telah mengambil inisiatif untuk membangunkan satu sistem undian atas talian (e-undi) dan platform kempen secara maya mana kedua-duanya boleh dicapai di laman sesawang khas pilihmpp.usim.edu.my.”
“Tahun ini seramai 39 orang calon menawarkan diri untuk bertanding dalam Pemilihan MPP USIM berbanding tahun lepas iaitu seramai 35 orang sahaja.
”Daripada jumlah yang layak bertanding ini, seramai 16 orang bertanding merebut Kerusi Umum manakala 23 orang calon merebut Kerusi Fakulti”.
“Di Kerusi Fakulti akan menyaksikan berlaku pertandingan di empat fakulti iaitu Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Fakulti Pergigian dan Fakulti Kejuruteraan Alam Bina.
”Manakala lima buah fakulti tiada pertandingan berlaku kerana kesemua calon menang tanpa bertanding. Fakulti tersebut adalah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah dan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan” ujarnya.
Seramai 10,429 orang pelajar USIM layak mengundi pada esok bermula dari jam 8 pagi hingga 6 petang dengan universiti meletakkan sasaran 90 peratus akan melaksanakan tanggungjawab mereka.
Dengan majoriti pelajar kini masih terlibat dalam pembelajaran dan pengajaran secara atas talian di kampung halaman, pihak USIM tetap mengambil inisiatif membuka satu pusat pengundian secara fizikal di dalam kampus bertempat di Dewan Kuliah Pusat 4.
Ini bagi membantu para pelajar yang tinggal di sekitar kampus yang mempunyai masalah dengan peranti dan talian internet untuk menunaikan tanggungjawab mereka di pusat mengundi di dalam kampus.
Keputusan rasmi pemilihan MPP USIM dijangka akan diketahui selewatnya jam 6.30 petang esok yang akan diumumkan oleh Naib Canselor USIM, Profesor Dr. Mohamed Ridza Wahiddin. – MalaysiaGazette