Home Nasional RM20.03 bilion rumah tidak terjual – Zuraida

RM20.03 bilion rumah tidak terjual – Zuraida

Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Nilai unit rumah tidak terjual sehingga Jun tahun ini sudah mencecah RM20.03 bilion yang juga bersamaan dengan 31,661 unit rumah siap belum terjual.

Angka itu dimaklumkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin ketika sesi soal pertanyaan lisan di Dewan Rakyat sebentar tadi.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, jumlah itu berdasarkan laporan pasaran hartanah yang dikeluarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) bagi separuh tahun pertama 2020 (H1 2020).

“Bagi membendung lambakan rumah termasuk rumah baharu ini, kerajaan kini sedang membangunkan Sistem Pengurusan Perumahan Integrasi (HIMS) yang akan menggantikan sistem sedia ada bagi merekod maklumat perumahan.

“Antaranya berkaitan kemajuan perumahan yang ditetapkan di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 [Akta 118] iaitu pengeluaran lesen, kawalan dan pemantauan projek, penguatkuasaan serta pemilikan perumahan di bawah projek perumahan swasta.

“Sistem ini dijangka siap pada pertengahan tahun depan,” katanya.

Zuraida menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang bertanya apakah mekanisme dilaksanakan oleh KPKT bagi mengawal pemaju daripada berterusan membina projek perumahan tidak bertepatan dengan kehendak pasaran.

Selain itu, soal Ahmad Jazlan apakah langkah-langkah membendung lambakan rumah baharu dalam negara.

Kata Zuraida lagi, pihaknya turut melaksanakan Kajian Analitis Data Raya Perumahan bagi mendapatkan situasi sebenar kedudukan dan ketersediaan data berkaitan sektor perumahan di Malaysia sebelum sebarang platform berkaitan dibangunkan.

“Kajian ini akan mula dilaksanakan pada suku pertama 2021 dan hasil kajian ini akan dijadikan input bagi pembangunan platform pusat pengumpulan data hartanah.

“Ia meliputi permintaan dan penawaran untuk membantu Kerajaan Persekutuan dan negeri membuat keputusan serta penyediaan dasar dan perancangan perumahan negara yang lebih komprehensif.

“Jangkaan dengan adanya platform ini nanti, pembinaan rumah baharu dalam negara dapat dilaksanakan mengikut kehendak dan keperluan sebenar penduduk setempat,” ujarnya. – MalaysiaGazete