PENULIS dan peminat drama bukan saja berpeluang mengasah bakat mereka dalam menghasilkan skrip malah berpeluang menjana pendapatan sampingan yang lumayan.
Lebih menarik dengan menyertai Bengkel Penulisan Drama D’Klik yang diadakan di Melaka dan Pahang bulan depan, peserta akan dibimbing dalam kategori drama televisyen dan drama radio.
Menurut fasilatator Bengkel Penulisan Drama D’Klik, Siti Rohayah Attan, usaha tersebut memperlihatkan kesungguhan pihak penganjur untuk membantu penulis baru meningkatkan pendapatan.
“Selain mencungkil bakat mereka, bengkel ini juga bertujuan memberi peluang kepada peserta untuk menjana pendapatan terutamanya yang terjejas di musim Covid 19.
“Dalam masa yang sama permintaan terhadap skrip drama televisyen dan drama radio amat menggalakkan,” katanya.
Beliau mengakui dengan kewujudan platform baru bagi drama terutamaya di internet membuka ruang yang lebih besar kepada penulis baru untuk mencari rezeki.
Berdasarkan pengalamannya, sebuah skrip drama televisyen berdurasi 90 minit dibayar antara RM5,000 sehingga RM8,000 bergantung kepada cerita dan perbincangan antara penulis dan penerbit.
“Skrip tersebut boleh dihasilkan dalam tempoh antara seminggu sehingga sebulan berdasarkan genre cerita yang diketengahkan.
“Manakala skrip drama radio boleh mencecah sehingga RM1,200 sekali siaran di RTM,” tambahnya yang terlibat dalam semua genre penulisan.
Bengkel D’Klik akan diadakan pada 12-13 Disember di Hotel MITC Ayer Keroh Melaka manakala 15-16 Disember di Hotel Seri Malaysia, Kuantan, Pahang.
Ia dianjurkan oleh Zahanna Adamm, Persatuan Generasi Seni Malaysia (GenSem) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Melaka dan Pahang.
Beliau yang berpengalaman selama 30 tahun dalam pelbagai genre penulisan berkata, D’Klik 2.0 akan melibatkan penulis drama radio terkenal, Aminah Mokhtar sebagai fasilatator jemputan.
“Kita merancang untuk memilih karya-karya terbaik daripada 30 hingga 50 peserta yang terlibat untuk diterbitkan dalam bentu buku.
“Karya-karya yang diterbitkan serta mempunyai potensi besar akan ditawarkan kepada penerbit untuk direalitikan di televisyen atau radio,’’tegasnya.
Bengkel yang sama pernah diadakan di Melaka pada Oktober lalu dan akan diteruskan di beberapa negeri seperti Perak dan Kedah.
Bagi yang ingin mengikuti D’Klik penyertaan masih terbuka dan boleh menghubungi pihak penganjur di talian 01110105236 (Cikgu Zana).