KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini diberitahu sebanyak 2,287 kertas siasatan telah dibuka terhadap penjawat awam bagi siasatan aduan kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan sejak 2016 hingga September lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertanggungjawab membantu kementerian dan jabatan kerajaan khasnya dalam meneliti sistem dan prosedur kerja bagi memastikan ruang dan peluang rasuah dapat ditutup.
Malah, katanya, SPRM telah melaksanakan pelbagai inisiatif pencegahan rasuah sebagai pencetus usaha mencegah perbuatan itu.
“Contohnya, setiap agensi memerlukan tools (pemudah cara) seperti Pengurusan Risiko Rasuah (CRM), Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) dan Sistem Pengurusan Antirasuah dalam usaha mengekang perlakuan rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat sebentar tadi.
Abdullah Sani meminta Perdana Menteri menyatakan apakah statistik salah laku rasuah dalam kalangan kakitangan kerajaan dan langkah-langkah pencegahan yang sedang dilakukan bagi menanganinya.
Sambung Takiyuddin lagi, sebanyak 139 agensi sudah melaksanakan libat urus dengan SPRM menerusi CRM sementara 40 agensi lagi menerusi OACP.
Takiyuddin juga memberitahu tindakan undang-undang yang diambil SPRM tidak mengira latar belakang, malah pemimpin politik juga boleh diambil tindakan sama. -MalaysiaGazette