KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) tidak menolak Belanjawan 2021, sebaliknya parti itu komited untuk membantu rakyat secara menyeluruh.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmi Faiz Mohamed Aris berkata, pejuangan BN adalah belanjawan bersifat insklusif dalam membela kebajikan rakyat.
“Alhamdullilah Belanjawan 2021 telah pun lulus dan pengeluaran KWSP telah diperluaskan berbanding sebelum ini.
“Semua pencarum KWSP boleh memohon mengeluarkan simpanan dari akaun satu KWSP tidak kira sama ada mereka ahli pekerja sektor formal atau bekerja sendiri termasuklah yang aktif mencarum atau tidak.
“Kerajaan turut meluluskan moratorium ke atas pembayaran pinjaman bank diberi secara automatik kepada golongan B40. Manakala, moratorium untuk golongan M40 dan T20 perlulah memohon kepada bank masing-masing.
“Inilah perjuangan BN untuk membantu rakyat. Bukan kita menolak Belanjawan 2021 ini tetapi kita mahukan ianya bersifat inklusif dan menyeluruh dalam membela kebajikan rakyat.
“Semoga pengeluaran KWSP ini dapat membantu sedikit sebanyak mereka yang terjejas untuk berniaga atau sebagainya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya di sini hari ini.
Semalam, Program i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibuka dan diperluaskan kepada semua ahli yang terjejas pendapatan mereka.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tidak kira sama ada disebabkan hilang pekerjaan atau terkurang pendapatan mereka tahun ini, pencarum layak memohon untuk membuat pengeluaran daripada akaun satu KWSP.
“Daripada dua juta ahli yang layak sebelum ini, i-Sinar kini kita buka kepada lebih lapan juta ahli.
“Tambahan pula, had pengeluaran i-Sinar juga dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM10,000 membabitkan peruntukan RM70 bilion,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) peringkat dasar di Dewan Rakyat, semalam. – MalaysiaGazette