KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional (Petronas) merekodkan kerugian bersih sebanyak RM3.4 bilion pada suku ketiga 2020 berbanding untung bersih sebanyak RM7.4 bilion tempoh sama tahun lalu.
Kemerosotan prestasi itu didorong oleh penurunan EBITDA, rosot nilai aset yang lebih tinggi serta perbelanjaan cukai yang meningkat disebabkan oleh penghentian pengiktirafan (derecognition) cukai aset tertangguh akibat unjuran harga minyak dan gas yang merosot.
Sekiranya kerugian rosot nilai tidak diambilkira, syarikat petroleum negara itu mampu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM2.6 bilion.
“Penyata kewangan yang diumumkan hari ini mencerminkan kepantasan Kumpulan dalam memberi maklum balas terhadap cabaran pasaran yang tidak pernah berlaku selama ini.
“Dalam masa yang sama, kami akan mengekalkan kecekapan dalam memberi maklum balas terhadap cabaran-cabaran tersebut dan membuat persiapan yang lebih baik dalam menghadapi industri yang semakin menekan pada suku hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Petronas menjangkakan prestasi lemah itu akan berterusan sehingga suku terakhir tahun ini disebabkan persekitaran perniagaan yang kekal mencabar.- MalaysiaGazette