Home Seni Hidup UMS kaji kit ujian Covid-19 buatan China

UMS kaji kit ujian Covid-19 buatan China

UMS dan SCCC mengambil gambar kenangan bersama kit ujian Covid-19 yang akan dibuat kajian tahap ketepatan dan keberkesanannya. Turut kelihatan Dr Taufiq (empat kiri) dan Tan (tepi kanan).

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) diberi kepercayaan untuk melaksanakan kajian terhadap ketepatan dan keberkesanan kit ujian Koronavirus (Covid-19) yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat terkemuka berpangkalan di Wuhan China.

Kajian itu merupakan kerjasama UMS-Dewan Perniagaan Sabah–China (SCCC) bagi membantu menangani keadaan semasa pandemik Covid-19 di negeri ini.

Setiausaha Agung SCCC, Ir. Tan Kok Jyh berkata, kerjasama itu juga sekali gus menyuburkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang boleh memberi manfaat
kepada masyarakat.

“Kita prihatin dengan keadaan yang melanda di Sabah. Sehubungan dengan itu kita dengan izin telah mendapatkan kit ujian Covid-19 daripada sebuah syarikat di China untuk dikaji.

“Ia tidak sama dengan kit yang digunakan untuk membuat saringan Covid-19 ketika ini. UMS merupakan universiti yang pertama kita berikan kerana kita tahu universiti yang
menjadi kebanggaan rakyat Sabah ini mempunyai kemampuan, kelengkapan dan kepakaran yang mencukupi untuk tujuan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum itu,Tan menyerahkan kit ujian Covid-19
dari SCCC kepada Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS di sini hari ini.

Menurut Tan, usaha yang dilakukan bersama UMS ini juga sebagai mengeratkan tali silaturahim antara SCCC dengan UMS.

“Pada masa hadapan mungkin kita juga boleh mengadakan kerjasama membantu dan meneruskan pelbagai bidang R&D bagi membawa kemajuan di negeri Sabah,” katanya.

Sementara itu, Dr Taufiq turut merakamkan ucapan terima kasih kepada SCCC atas keprihatinan dan kepercayaan terhadap UMS sebagai rakan kerjasama untuk penyelidikan kit ujian berkenaan.

“Ini merupakan satu kerjasama yang amat baik dalam menghadapi keadaan pandemik Covid-19 di Sabah yang cukup terkesan ketika ini. UMS sudah tentu berasa bangga dan
terharu kerana dipilih untuk menjalankan kajian.

“Kita harap kerjasama ini akan berterusan dan akan membawa kepada kecemerlangan universiti sekali gus menyumbang kepada masyarakat.

“Semoga lebih banyak kerjasama dapat dijalinkan dengan SCCC pada masa akan datang,” katanya.- MalaysiaGazette