KUALA LUMPUR – Belanjawan 2021 yang dilihat banyak pihak sebagai paling mencabar dan berbeza berbanding belanjawan sebelum ini, berjaya melepasi halangan pertamanya apabila diluluskan di peringkat dasar di Dewan Rakyat pada Khamis melalui undian suara.
Walaupun perlu melalui dua lagi peringkat di Dewan Rakyat sebelum belanjawan terbesar dalam sejarah negara ini diluluskan sepenuhnya, namun sedikit sebanyak memberi sinar kepada rakyat untuk belanjawan ini membantu demi kelangsungan hidup, serta usaha memulihkan ketahanan ekonomi akibat pandemik Covid-19.
Penganalisis ekonomi berharap satu mekanisma yang kukuh dapat dilakukan, bagi memastikan peruntukan yang disediakan benar-benar sampai kepada golongan sasar, seperti yang disebutkan di dalam Belanjawan 2021.
Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Abdul Rahim Abdul Samad berkata, ini penting untuk memastikan peruntukan belanjawan akan menjadi lebih telus selain dapat mengelakkan ketirisan dan kebocoran.
“Ini bagi menjamin apa yang termaktub dalam belanjawan, akan benar-benar dilaksanakan dan bukannya hanya atas kertas.
“Jika sebelum Belanjawan 2021 dibentangkan, sesi konsultansi dilakukan oleh kerajaan bersama pihak berkepentingan dan ini perlu diteruskan, untuk pasca (pembentangan) Belanjawan 2021 bersama pihak berkepentingan secara berkala, yakni dalam jangka masa pendek dan jangka masa pertengahan,” katanya kepada Bernama.
Usaha ini menurut beliau bukan sahaja menjamin Belanjawan 2021 benar-benar sampai kepada golongan sasar, malah kerajaan akan mendapat maklumat tambahan tentang mana-mana lagi golongan yang tertinggal, yang tidak mendapat manfaat melalui belanjawan kali ini, sedangkan mereka terkesan dengan pandemik COVID-19.
Abdul Rahim berkata segala input yang diperoleh dalam sesi konsultansi tersebut, perlu dikongsikan kepada masyarakat umum melalui saluran khusus, mungkin melalui Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) yakni penjenamaan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).
Ini berketepatan dengan objektif J-Kom, yang memainkan peranan dengan mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat, di samping melibatkan juga pihak berkepentingan yang lain bagi menjamin integriti dan akauntabiliti dalam pengurusan wang belanjawan ini.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Norlin Khalid berpendapat, perlunya kerajaan menyediakan pelaporan belanjawan seperti yang dibuat dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA), yang bertujuan memantau pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE 2020).
Apabila ini dilakukan, ia akan dapat memastikan sebanyak 186 inisiatif dasar di dalam Belanjawan 2021 yang bakal dilaksanakan, mencapai objektifnya.
“Belanjawan kali ini merupakan yang terbesar dalam sejarah, dengan RM322.5 bilion diperuntukkan. Sekiranya kerajaan dapat menyediakan dokumen dalam pelaporan belanjawan sebulan sekali atau setiap sukuan, ia pasti menunjukkan ketelusan kerajaan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata ini juga akan dapat mendorong agensi-agensi berkaitan untuk meneruskan inisiatif-inisiatif dasar seperti yang dirancang dalam belanjawan kali ini. – MalaysiaGazette