Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, pekerja-pekerja pihak berkuasa tempatan juga adalah barisan hadapan yang turut bersama-sama membendung dan mengawal penularan Covid-19.
Lantaran itu, katanya, kakitangan-kakitangan PBT yang terbabit juga wajar mendapat pengiktirafan itu.
“Kakitangan PBT juga terlibat dalam usaha-usaha membendung penularan wabak Covid-19 di seluruh negara, justeru, mereka ini tidak wajar dipinggirkan daripada mendapat insentif kerajaan.
“Sesungguhnya keprihatinan kerajaan dapat mengubat penat lelah petugas-petugas ini yang sama-sama menangani wabak ini tanpa mengira kesan kesihatan dan risiko keselamatan,” katanya kepada MalaysiaGazette
Khamis lalu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan bersetuju memperluaskan pemberian bantuan secara sekali bayaran atau ‘óne-off’ berjumlah RM300 kepada semua petugas barisan hadapan termasuk anggota polis dan tentera.
Menurut beliau, pemberian itu selepas mengambil kira pandangan semua pihak dan mendengar cadangan ramai ahli Parlimen yang berbahas.
“Pada hari itu Belanjawan 2021 (pembentangan) kita hanya mengumumkan bantuan ‘one-off’ RM500 kepada petugas Kementerian Kesihatan, tetapi kita telah memperluaskan lagi dan memberi bantuan ini kepada semua petugas barisan hadapan sebanyak RM300,” katanya di Dewan Rakyat baru-baru ini. – MalaysiaGazette